Kakitangan Kerajaan dapat 3/4 ‘Bonus Raya’, Guru-guru Agama tidak dilupakan

Admin

GEORGE TOWN – Seramai 4,178 anggota perkhidmatan awam Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan diberi ‘Bonus Raya’ sebanyak tiga perempat (3/4) bulan gaji, dengan minimum RM700 seorang sebelum sambutan Aidilfitri nanti.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng membuat pengumuman itu pada Sesi Penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini.

“(Ini) mengambil kira kos inflasi dan peningkatan kos hidup yang begitu ketara kerana GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Selain itu, Guan Eng turut mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada 1,486 Penyelia dan Guru KAFA (Kelas Agama Dan Fardu Ain), 192 guru Sekolah Rendah Agama Rakyat masing-masing turut menerima ‘bonus raya’ sebanyak RM300.

“522 guru dan staf Sekolah Persendirian Cina masing-masing turut menerima ‘Bonus Raya’ atau Bantuan Kewangan Khas berjumlah RM300 seorang.

“215 guru tahfiz Al-Quran, Tuan-tuan Guru Pondok dan guru Tadika Islam (TADIS) di negeri ini masing-masing turut menerima RM200.

“Pemberian Bantuan Khas Kewangan ini turut dipanjangkan kepada kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Badan-badan Berkanun Kerajaan Negeri,” jelasnya.

Keseluruhan belanja pemberian dianggarkan berjumlah RM7.95 juta.