Gotong–royong Jalan Sempadan cegah denggi

Admin

GOTONG-ROYONG CEGAH AEDES… Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Jalan Sempadan di bawah Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Putih pada 17 April lalu mengadakan satu gotong-royong bagi membersihkan kawasan setempat.

Pengerusinya, P.R Kaliyappan berkata, objektif program berkaitan adalah bagi memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes dan haiwan berbisa ekoran maklum balas daripada penduduk setempat.

“Sebelum ini, saya banyak menerima aduan berkenaan nyamuk aedes, serangga dan haiwan berbisa.

“Justeru, demi kesihatan dan keselamatan penduduk, saya dan beberapa pihak mengambil inisiatif untuk mengadakan gotong-royong bagi mengatasi permasalahan ini,” katanya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Seramai 15 ahli JKKK Jalan Sempadan, kakitangan am Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan para penduduk terlibat dalam penganjuran yang mengambil tempoh masa lima jam berkenaan.