Mahu jadi juruaudit, Fatin Najwa antara 10 terbaik dunia bagi peperiksaan ACCA, CAT

BATU MAUNG – Fokus terhadap pengajian dan kerap mengadakan diskusi bersama-sama rakan adalah resipi kejayaan Fatin Najwa Azman, 22, dari Batu Maung di sini yang berjaya tersenarai antara 10 terbaik dunia dalam peperiksaan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan Certified Accounting Technician (CAT) Disember lalu.

Penuntut Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) tersebut berkata bahawa beliau tidak menyangka akan memperoleh keputusan cemerlang ekoran peperiksaan tersebut adalah paling mencabar di dunia.

Sebaliknya, jelas beliau tiada cara khusus atau rahsia bagi kejayaan dikecapinya.

“Ekoran ia amat mencabar di peringkat dunia, saya berkeinginan untuk mencubanya.

“Saya sudah menghabiskan sembilan daripada keseluruhan 13 peperiksaan kesemuanya,” jelas beliau ketika ditemui di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung yang juga Exco Perdagangan & Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain di sini 11 Februari lalu.

Terdahulu, Fatin Najwa sambil ditemani ayahnya, Azman Omar, 55, hadir bagi menerima sumbangan daripada Abdul Halim berupa peranti telefon pintar dan wang tunai RM1,000 di atas kejayaan beliau.

Anak kedua daripada tiga beradik tersebut yang juga merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdullah Munshi bercita-cita untuk menjadi seorang juruaudit kelak.

“Selepas tamat pengajian, saya bercadang untuk meneroka bidang pekerjaan terlebih dahulu sebelum berhasrat menyambung pengajian di peringkat tertinggi.

“Untuk penuntut khususnya pelajar sekolah, jangan berputus asa meskipun menghadapi cabaran belajar masa kini, biar lambat asalkan kejayaan dapat dikecapi,” nasihat beliau yang kini turut sama menjalani pembelajaran secara dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Melalui laporan akhbar tempatan, selain Fatin Najwa, Putera Aiman Abdul Rashid dari fakulti yang sama turut diumumkan antara yang tersenarai dalam 10 terbaik dunia bagi peperiksaan ACCA dan CAT di mana Fatin Najwa mendapat tempat pertama di Malaysia dan kesembilan dunia bagi peperiksaan ACCA, manakala Putera Aiman memperoleh tempat pertama dan kedua dunia bagi peperiksaan Maintaning Financial Records (FA2).

Dalam pada itu, pada majlis sumbangan berasingan Abdul Halim turut menyumbangkan 15 tablet kepada pelajar-pelajar daripada golongan isi rumah B40 agar tidak ketinggalan dalam mendapatkan ilmu pengetahuan pada tempoh mencabar kini.

“Sebanyak 15 tablet disumbangkan dua individu berasingan bernilai RM12,000 akan diagihkan kepada 15 pelajar B40 sebagai bantuan untuk pembelajaran di dalam talian, di mana mereka (pelajar) ini dipilih berdasarkan rujukan daripada para guru yang telah menilai prestasi (pembelajaran) mereka.

“Sebelum ini, Pusat Khidmat saya juga telah menyerahkan 25 buah set peranti komputer refurbished kepada pelajar-pelajar daripada golongan B40 yang memerlukan.

“Serentak itu, saya mengalu-alukan sumbangan berbentuk telefon pintar, tablet, komputer mahupun laptop daripada semua pihak yang sudi menganjur demi keperluan dan kegunaan pelajar B40 ini agar tidak ketinggalan,” ujarnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADUN