‘Mai Aktif’ promosi gaya hidup sihat dan berdikari di kalangan warga emas

Admin

GEORGE TOWN – Bagi memastikan golongan warga emas tidak ketinggalan dalam pembangunan Pulau Pinang, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif mempromosikan  ‘penuaan aktif’ dalam kalangan golongan terbabit.

 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng, sejajar itu, Kerajaan Negeri mengangkat tema ‘Lapangkan Dada, Raikan Penuaan’.

 

“Atas sebab inilah, Program ‘Mai Aktif’ diperkenalkan bagi memastikan warga emas di sini dapat meneruskan gaya hidup aktif yang bukan sahaja meningkatkan tahap kesihatan, malah memberi keyakinan bahawa mereka masih mampu berdikari dan peranan mereka tetap dihargai dalam masyarakat.

 

 

“Program sebegini juga selaras dengan Visi Penang2030 yang mahu menjadikan Pulau Pinang sebagai Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara menjelang tahun 2030 dengan mengambil kira penyertaan masyarakat dalam perancangan pembangunan yang bersifat inklusif atau terangkum tanpa meminggirkan mana-mana kelompok masyarakat,” ujar Lai Heng pada Program Mai Aktif di Skim Perumahan Awam Lebuh Cintra milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di sini baru-baru ini.

 

Hadir sama, Ahli-ahli Majlis bagi MBPP dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng.

 

 

Skim Perumahan Awam MBPP Lebuh Cintra dipilih sebagai lokasi program memandangkan majoriti penghuni di situ terdiri daripada golongan warga emas.

 

 

Pengisian program berkaitan termasuklah pemeriksaan kesihatan percuma atas permintaan penduduk, pameran agensi-agensi kerajaan, bengkel kraftangan, demonstrasi pertolongan cemas, permainan tradisional dan lain-lain.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

Gambar : MBPP