MAINPP hasrat jadi badan pengelola hartanah wakaf contoh serantau

Admin
SITI Zawiyah Din, 56.

SEJAK bulan Februari lepas lagi, SITI ZAWIYAH DIN, 56,mengambil keputusan berpindah ke Pangsapuri Wakaf An-Nur berhadapan Masjid Teluk Air Tawar, yang dianggap lebih selesa berbanding rumah asalnya di atas tanah Wakaf Abdul Cauder, Jalan Mengkuang, Butterworth.

Pada waktu itu, Siti Zawiyah yang lebih mesra dipanggil ‘Kak Zawiyah’ memberitahu bahawa rumahnya belum ada bekalan elektrik lagi.

Malah, beliau memberitahu bahawa tindakannya menerima tawaran Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) untuk mengosongkan premis di tanah wakaf Jalan Mengkuang adalah berbaloi.

SITI Zawiyah Din (empat dari kiri) sekeluarga meramahi Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (dua dari kanan) dan Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dekat kediamannya dekat Tingkat 2, Pangsapuri Wakaf Al-Nur dekat Telur Air Tawar pada 27 Jun 2020.

“Kak Zawiyah merupakan orang pertama yang berpindah ke sini (Pangsapuri Wakaf An-Nur), dapat kunci terus berpindah ke sini sejak bulan Februari lagi.

“Waktu itu, bekalan elektrik pun belum ada lagi, siang Kak Zawiyah tinggal di sini, sementara malam pula Kak Zawiyah balik duduk menumpang di rumah anak, sehingga ada bekalan elektrik.

“Alhamdulillah, memang rezeki daripada Allah S.W.T, musim raya semasa dalam tempoh pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac 2020) baru-baru ini pun, Kak Zawiyah beraya dengan anak-anak di sini.

“Kak Zawiyah nak terima kasih juga kepada MAINPP kerana ‘menghadiahkan’ rumah wakaf yang begitu selesa ini.

“Selama ini pun, tak pernah MAINPP mungkir janji (ketika berunding dengan penduduk asal di Jalan Mengkuang), sampai terkurang lima sen pun.

“Apabila sampai masa dan tempoh (MAINPP membayar kos sewa rumah sementara kepada penduduk), enam bulan sekali keluarga Kak Zawiyah dapat dapat RM3,000 (duit sewa rumah sementara di luar Jalan Mengkuang), kiranya setahun MAINPP bagi RM6,000, selain ‘rumah ganti rumah’ di sini.

“Kak Zawiyah sekeluarga memang puas hati dengan tawaran yang MAINPP berikan ini,” jelasnya kepada wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB di Pangsapuri Wakaf An-Nur dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Teluk Air Tawar pada 27 Jun 2020.

Kak Zawiyah merupakan antara 15 penghuni pangsapuri ini yang menyertai Majlis Taklimat Khas Pembangunan Hartanah Wakaf Pulau Pinang dan Majlis Penyampaian Bantuan Musa’adah COVID-19 bersama-sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Acara anjuran MAINPP itu turut disertai Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar, Mustafa Kamal Ahmad; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Zulkifli Long yang juga Setiausaha MAINPP; Ketua Pengarah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR), Ruslan Said dan Pengurus Besar Zakat Pulau Pinang (ZPP), Amran Hazali.

(Depan, dari kiri) RUSLAN Said, Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Mustafa Kamal Ahmad dan Zulkifli Long dalam Majlis Taklimat Khas Pembangunan Hartanah Wakaf Pulau Pinang dan Majlis Penyampaian Bantuan Musa’adah Covid-19, di Dewan Serbaguna Pangsapuri Wakaf An-Nur dekat Teluk Air Tawar di sini pada 27 Jun 2020.

Bagi Kak Zawiyah, MAINPP tidak pernah sama sekali  menindas keluarga-keluarga Islam yang asal mendiami tanah wakaf Jalan Mengkuang, sebagaimana didakyah oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab.

“Nasihat Kak Zawiyah kepada baki 11 keluarga yang enggan berpindah keluar dari (tanah wakaf) Jalan Mengkuang itu, marilah berpindah ke sini (Pangsapuri Wakaf An-Nur), janganlah buat masalah di sana (tanah Wakaf Abdul Cauder) dengan nak tuntut wang pampasan yang tak munasabah, memang tak akan dapat.

“Sebenarnya memang MAINPP dah bagi dah RM4,000 (untuk kos pengosongan premis di Jalan Mengkuang) cuma mungkin mereka (baki 11 keluarga berkenaan) telah salah guna duit tersebut.

“Mari berpindah dan tinggal di sini (Pangsapuri Wakaf An-Nur), memang jauh lebih selesa berbanding rumah asal di Jalan Mengkuang.

“Rumah baharu di Pangsapuri Wakaf An-Nur ini, Kak Zawiyah duduk percuma, tidak perlu bayar sebarang sewa kerana ini ‘rumah ganti rumah’, hadiah daripada MAINPP,” jelasnya lagi.

NURSYARNILA Saleh, 37.

NURSYAMILA SALEH, 37, merupakan seorang lagi penghuni Pangsapuri Wakaf An-Nur yang sempat ditemu ramah oleh Buletin Mutiara.

 

Beliau merupakan anak kepada Che Som Din, iaitu salah seorang peneroka bandar yang mendiami tanah Wakaf Abdul Cauder dekat Jalan Mengkuang, kemudian, mereka sekeluarga menerima tawaran MAINPP untuk berpindah ke pangsapuri selesa di sini.

Syarmila  memberitahu bahawa tindakan ibunya itu menerima tawaran rundingan MAINPP ternyata berbaloi untuk mereka sekeluarga.

“Sebelum ini, kami tinggal di Jalan Mengkuang, kerap menghadapi risiko banjir dan sebagainya, jadi, amat berpuas hatilah apabila dah berpindah ke sini.

“Saya baru berpindah tak sampai tiga minggu di sini. Selepas (PKP) yang berpunca daripada pandemik) COVID-19, baru saya berpindah ke sini (Pangsapuri Wakaf An-Nur).

“Kalau ikutkan, memang dapat (tawaran berpindah ke sini) awal, tapi memandangkan COVID-19, tangguh sekejaplah hal pindah rumah.

“Saya amat berbangga dan berterima kasih kepada pejabat agama (Islam) sebab menawarkan unit rumah wakaf yang sangat selesa dan luas untuk keluarga nak datang bertandang.

“Tinggal di sini memang tiada bayaran sebab pejabat agama (Islam) menghadiahkan rumah ini kepada kami sekeluarga,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada JHEAIPP dan MAINPP.

Sebelum itu, Ahmad Zakiyuddin memberitahu tanah wakaf di hadapan Masjid Teluk Air Tawar boleh dimajukan sebagai Pangsapuri Wakaf An-Nur kerana menerima sokongan dana pembangunan kira-kira RM54 juta daripada JAWHAR (agensi persekutuan di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, JAKIM).

Daripada sumber dana persekutuan tersebut, MAINPP dan JHEAIPP berjaya membina pangsapuri selesa, yang terdiri daripada dua blok bangunan atau 152 unit kediaman khusus untuk manfaat orang Islam terpilih sahaja.

Justeru, beliau yang juga Yang di-Pertua MAINPP berkata Kerajaan Negeri berharap Putrajaya melalui JAWHAR dapat menyalurkan lebih banyak lagi dana pembangunan untuk membangunkan manfaat tanah-tanah wakaf sedia ada untuk manfaat umat Islam di negeri ini.

“Kita sedia maklum, Pulau Pinang mempunyai sejumlah tanah wakaf yang tinggi nilainya dan strategik.

“Sebagai  sebuah institusi yang dipertanggungjawabkan bagi mengurus hartanah wakaf, MAINPP berusaha sedaya-upaya untuk mengkaji, merancang serta berusaha mendapatkan peruntukan bagi melaksanakan agenda pembangunan harta wakaf agar  dapat dinikmati oleh umat Islam di negeri ini.

“Sinergi pembangunan melalui kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan MAINPP bukanlah sesuatu yang baru. Ianya telah bermula sejak Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) lagi apabila Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan sejumlah peruntukan bagi menjalankan kerja-kerja pembangunan konservasi premis-premis wakaf di kawasan  warisan di Pulau Pinang,” jelasnya yang juga ADUN Pinang Tunggal.

Tambah beliau, sehingga kini MAINPP sedang menguruskan 1,210 lot tanah wakaf dengan keluasan 1,260 ekar persegi, di samping 273 unit premis kediaman serta 282 unit premis komersial.

Sebelum itu, Zulkifli Long menyampaikan taklimat khas mengenai pembangunan hartanah wakaf.

Menurut beliau, pada tahun 2011 MAINPP menerima peruntukan sebanyak RM42 juta untuk projek pemajuan Kompleks Pendidikan Maahad Al-Mashoor Al-Islami dekat kawasan Parlimen Balik Pulau.

Pada tahun 2018 lepas, Zulkifli Long memberitahu bahawa MAINPP melaksanakan projek pembangunan Pangsapuri Wakaf Siti dan Hajjah Norijah di Sungai Nibong Besar, dengan kos peruntukan sebanyak RM23.8 juta.

“Bermula episod mencabar terpaksa dihadapi MAINPP ketika membangunkan tanah Wakaf Kampung Makam (dekat bahagian Pulau), meskipun telah mendapat komitmen peruntukan Kerajaan Persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

“Kemudian, MAINPP terpaksa menghadapi penentangan penduduk di atas tanah Wakaf Abdul Cauder, Jalan Mengkuang, Butterworth sehingga menjadi isu nasional pada awal tahun 2019, sebelum Pembangunan Pangsapuri Wakaf An-Nur, Teluk Air Tawar ini menjadi kenyataan di sini,” jelasnya lagi

Dengan pelbagai pengalaman yang didepani MAINPP dalam membangunkan manfaat hartanah wakaf di negeri ini, beliau yakin Pulau Pinang boleh menjadi negeri contoh serantau dalam meningkatkan kualiti hidup umat Islam terutama golongan asnaf terpilih.

“Seperti di sini (Pangsapuri Wakaf An-Nut), kita (MAINPP) beri rumah (dengan luas lantai) 1,000 kaki persegi percuma kepada penduduk asal yang tinggal di Jalan Mengkuang, nilai hartanah lebih RM100,000 seunit (kalau dijual).

“InsyaAllah kita (MAINPP) akan memohon lagi peruntukan persekutuan dalam RMK-12 untuk membina 300 unit lagi rumah wakaf.

“Dengan pengalaman mendepani kes-kes (tuntutan di mahkamah) melibatkan pengurusan tanah wakaf dan projek-projek pembangunan hartanah wakaf yang berjaya direalisasikan sehingga kini, saya berharap MAINPP dapat menjadi tempat rujukan pakar dalam pembangunan hartanah wakaf di Malaysia,” jelasnya.

DR. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (kanan) dalam sidang media bersama-sama Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman di Dewan Serbaguna Pangsapuri Wakaf An-Nur di sini pada 27 Jun 2020.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Dr. Zulkifli Mohamad memberitahu pihaknya berminat untuk saling berkolaborasi dengan agensi umat Islam negeri dalam membangunkan hartanah wakaf di Pulau Pinang.

Malah, beliau akan mempertimbangkan permohonan MAINPP untuk mendapatkan peruntukan persekutuan dalam RMK-12, untuk rancangan pembangunan hartanah wakaf negeri.

“Setuju untuk kolaborasi dengan MAINPP sudah barang tentu, tetapi cara pelaksanaan (rancangan projek pembangunan hartanah wakaf negeri), penggunaan duit (peruntukan persekutuan) dan seumpamanya, itu akan dibangkitkan dan dibincangkan,” jelasnya.