MAINPP laksana wakaf tunai, bangunkan tanah wakaf, respons Abdul Halim

GEORGE TOWN – Tujuan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melalui syarikat subsidiarinya, Wakaf Pulau Pinang Sdn. Bhd. (Wakaf Pulau Pinang) melaksanakan wakaf tunai demi menambah pegangan aset serta mengembangkan potensi ekonomi umat Islam di negeri ini.

Mengulas lanjut, Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain memberitahu, MAINPP turut menggunakan hasil dana wakaf tunai untuk membeli hartanah tetap, selain merancang projek pemajuan di atas tanah-tanah wakaf sedia ada.

Tambah beliau, MAINPP sejak tahun 2011 hingga 2017 telahpun menyiapkan lima projek pemajuan di atas tanah wakaf, dengan nilai pembangunan kasar hampir RM120 juta.

“Melalui wakaf tunai ini, umat Islam boleh menyumbang serendah RM5 kepada badan pemegang amanah umat Islam iaitu MAINPP atau Wakaf Pulau Pinang.

“Daripada dana wakaf tunai ini lah, kita tidak boleh simpan lama dalam bentuk tunai, maka kita beli hartanah tetap, membantu ekonomi umat Islam serta menambahkan pegangan aset umat Islam di negeri ini.

“Kalau kita tak buat sesuatu seperti wakaf tunai ini, hartanah dan tanah wakaf bukan sahaja tidak berkembang, malah tidak akan menambahkan hasil kepada MAINPP sendiri.

“Hasil perolehan kita (MAINPP) daripada pembangunan hartanah wakaf ini kini ada dua (iaitu) duit tunai melalui wakaf tunai, dan satu lagi adalah sewaan atas premis-premis komersial yang kita bina atas tanah wakaf sebelum ini,” jelas Abdul Halim kepada pemberita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini 8 Ogos 2018.

Dato’ Abdul Halim merupakan bekas Yang di-Pertua Majlis bagi MAINPP, dalam tempoh 2016 hingga 2017.

Mengulas lanjut, Abdul Halim menyatakan bahawa wakaf tunai adalah sangat membantu Wakaf Pulau Pinang dalam membuat perancangan pembangunan atas tanah dan hartanah wakaf negeri.

“Sebelum pelaksanaan wakaf tunai ini, hasil tahunan wakaf tidak pernah cecah RM500,000, tapi pada tahun ini (2018), sehingga bulan Julai lepas, hasil wakaf telah mencecah lebih RM700,000,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Selain itu, tambah Abdul Halim, aset MAINPP ketika ini mungkin bernilai kira-kira RM3 bilion, jika disegerakan proses audit dalaman serta proses menilai semula aset-aset berwajib mengikut pasaran semasa.

Sebelum itu, mewakili Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Abdul Halim ada menjawab soalan lisan yang dibangkitkan oleh ADUN Penaga, Ustaz Mohd. Yusni Mohd Piah, dalam Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Ke-14.

Abdul Halim menegaskan, MAINPP senantiasa membangunkan manfaat atas tanah-tanah wakaf di negeri ini.

Sehingga kini, ulasnya, MAINPP memiliki 1,270 lot tanah wakaf seluas 1,231.16 ekar, iaitu 508.33 ekar di Daerah Seberang Perai Utara, Daerah Seberang Perai Tengah (236.49 ekar), Daerah Seberang Perai Selatan (274.73 ekar), Daerah Timur Laut (122.73 ekar) dan Daerah Barat Daya (188.88 ekar).

Berikut adalah lima projek pembangunan tanah wakaf yang telah berjaya dimajukan oleh MAINPP sejak tahun 2011 hingga 2017:-

1. Bangunan sekolah dan kemudahan asrama Maahad Al-Mashoor Al-Isami di Balik Pulau, siap pada tahun 2011. Projek bernilai RM42 juta.

2. Kompleks Datuk Hidayah, iaitu pembangunan 1 blok bangunan akademik dan asrama di Permatang Tok Gelam, siap pada bulan Disember 2013. Projek bernilai RM6.8 juta.

3. Projek perumahan dan bangunan lot komersial Taman Wakaf Seetee Aisha (fasa 1) dekat Seberang Jaya, siap pada bulan Februari 2013. Projek bernilai RM21 juta.

4. Projek pembangunan dua blok pangsapuri 11 tingkat di Pangsapuri Wakaf Muhammad Hashim dekat Seberang Jaya, siap pada 19 Januari 2017. Projek bernilai RM20juta.

5. Pembinaan 77 unit kediaman pangsapuri 14 tingkat dan empat lot komersial di Tanah Wakaf Siti Binti Abdul Rahman, Sungai Nibong dekat Daerah Barat Daya, siap pada bulan April 2018. Projek bernilai RM28 juta.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB