MAINPP tandatangi dua MoU manfaatkan golongan asnaf melalui akademik

Admin

BATU UBAN – Memorandum Persefahaman (MoU) antara tiga pihak iaitu Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melalui Zakat Pulau Pinang (ZPP),Segi Group of College dan QSR Brands (M) Bhd bakal memberi manfaat kepada 500 orang pelajar asnaf di negeri ini.

Yang di-Pertua MAINPP, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim berkata, melalui kerjasama tersebut ZPP akan mencari  500 orang pelajar daripada pengkalan data asnaf sedia ada untuk mengikuti pelbagai program Diploma Pentadbiran Perniagaan, Diploma Seni Kulinari dan Diploma Pengurusan Hotel sambil dibiayai oleh Segi Group of Colleges.

“Pihak Segi Group of College akan menyediakan biasiswa sepenuhnya untuk peserta yang menyertai program ini.

“Para peserta akan diberikan peluang pekerjaan semasa menjalani kursus dan seterusnya selepas berjaya menamatkan kursus berkaitan,” ucap Abdul Malis pada Program Nur Ramadan 2019 yang berlangsung dekat Tapak Pesta Sungai Nibong pagi tadi.

Hadir sama, Amran Hazali, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP dan Yusof Hashim, Ahli Lembaga Pengarah ZPP.

Mengulas lanjut, Abdul Malik mengatakan usaha ini selaras dengan hasrat dan aspirasi ZPP yang ingin melahirkan pekerja-pekerja mahir di kalangan golongan asnaf.

“Saya ingin merakamkan penghargaan terima kasih kepada QSR Brands (M) Bhd kerana melalui program sebegini, anak-anak asnaf akan mendapat peluang pekerjaan bagi mengembangkan potensi masing-masing seterusnya dapat membina kehidupan yang baik.

Dalam perkembangan berkaitan, MAINPP turut menandatangani MoU bersama Optopreneur College dalam menaja 100 orang pelajar untuk melanjutkan pelajaran diperingkat Diploma dan Sijil dalam Peruncitan dan Kefasihan Bahasa Inggeris.

“Di samping itu biasiswa dan pekerjaan sambilan turut akan disediakan termasuk peluang dalam pekerjaan tetap apabila tamat pengajian kelak.

“Kedua-dua MoU ini adalah selaras dengan hasrat MAINPP iaitu meningkatkan taraf akademik golongan asnaf supaya boleh mengembangkan potensi masing-masing seterusnya menjalani kehidupan dengan lebih baik,” katanya lagi.

Ketika berucap mengenai program Nur Ramadan, Abdul Malik

memaklumkan sebanyak RM7,680,750 berjaya diagihkan kepada seramai 2,979 orang penerima bantuan yang berupa sumbangan wang tunai sebanyak RM600 dan hamper keperluan dapur.

“Melalui Program Nur Ramadan 2019 diharapkan para penerima bantuan akan dapat menjalani ibadah puasa dengan lebih baik tidak lama lagi,” maklumnya.

Teks dan Gambar: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN