Majestic Heights, Exco harap pembeli peroleh kunci sebelum Tahun Baru Cina

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

PAYA TERUBONG – Projek perumahan awam, Majestic Heights dekat Paya Terubong yang terbengkalai kira-kira 20 tahun sejak 1997 hampir siap dan dijangka boleh diduduki oleh 370 pembeli hartanah berkenaan dalam awal tahun ini juga.

Mengulas lanjut, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, projek swasta itu dipulihara semula sehingga siap setelah menerima campur tangan Kerajaan Negeri kira-kira setahun lalu.

“Ada mereka telah menandatangani surat perjanjian jual beli rumah di sini sejak 1997, bayangkan berapa lama mereka menanti untuk duduk di rumah yang merupakan hak mereka.

“Namun, kita (Kerajaan Negeri) berharap sebelum Tahun Baru Cina (28 Januari 2017), pemilik akan diberikan kunci masing-masing,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat kepada pemberita selepas mengadakan lawatan tapak di sini pada 24 Disember lalu.

Turut serta, ADUN Paya Terubong, Yeoh Soon Hin.

Pada Mei tahun lepas, pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mengumumkan langkah proaktif untuk
mengambil alih tiga projek pembangunan terbengkalai berusia lebih 10 tahun.

Selain Majestic Heights, Jagdeep memberitahu, dua projek terbengkalai lain adalah projek pembangunan bercampur Pasar Awam Paya Terubong dan bangunan ruang pejabat, Hexagon Tech Park (Hexagon) atau dulunya dikenali sebagai Kompleks Adorna Diamond dekat Sungai Pinang.

Tambah Jagdeep, Kerajaan Negeri hari ini mengambil langkah proaktif dengan berunding semula dengan Patsifit Construction Sdn. Bhd. (Patsifit), iaitu syarikat pemaju yang terlibat dengan projek asal tersebut, untuk mengambil alih semula projek terbengkalai Majestic Heights.

“Hasil daripada rundingan bersama-sama Patsifit, Kerajaan Negeri bersetuju mengambil alih semula projek terbengkalai ini dan satu cadangan pembangunan baru dibina bersama komponen perumahan mampu milik.

“Antaranya, komponen pasar yang menelan belanja sebanyak RM7 juta yang dimulakan pada pertengahan tahun 2016 dan dijangka disiapkan sepenuhnya selewat-lewatnya pada 2017.

“Projek terbengkalai Majestic Heights disiapkan sepenuhnya oleh syarikat kontraktor PLB Land Sdn. Bhd.,” jelas beliau.