Majlis rumah terbuka Aidilfitri tradisi tahunan, elak pembaziran berbelanja secara berhemat

Admin
whatsapp image 2026 03 12 at 14.46.43

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri akan meneruskan penganjuran Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri seperti yang telah dirancang sebelum ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman oleh Perdana Menteri berhubung penganjuran majlis rumah terbuka Aidilfitri tahun ini sebagai langkah berjimat cermat susulan ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik di Asia Barat.

Menurut Kon Yeow, penganjuran majlis berkenaan telah diaturkan lebih awal sebelum pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri berkaitan garis panduan penganjuran majlis rumah terbuka pada peringkat kementerian, agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Majlis rumah terbuka Aidilfitri merupakan tradisi tahunan yang menjadi platform penting untuk pemimpin mendekati serta menyantuni rakyat pelbagai lapisan masyarakat.

“Secara peribadi, majlis sedemikian telah menjadi tradisi tahunan dan merupakan salah satu platform dalam menyantuni rakyat,” ujarnya pada sidang media di Komtar hari ini.

Menurut Kon Yeow, majlis jamuan tersebut akan tetap diteruskan seperti tahun-tahun sebelumnya, namun dilaksanakan secara sederhana.

Mengulas mengenai penganjuran rumah terbuka oleh jabatan dan agensi kerajaan, beliau menyatakan bahawa tiada halangan untuk majlis sedemikian diadakan memandangkan kebiasaannya ia dianjurkan dalam skala kecil atau secara dalaman sahaja.

“Cuma saya nasihatkan supaya elakkan pembaziran dan berbelanja secara minimum serta berhemat,” jelasnya.

Kon Yeow turut menjelaskan bahawa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta wakil rakyat di kawasan masing-masing juga boleh menganjurkan majlis sedemikian sebagai platform untuk berinteraksi dengan masyarakat setempat.

“Kebiasaannya, bagi MPKK dan wakil rakyat, majlis seperti ini menjadi platform untuk memupuk kebersamaan dengan rakyat setempat,” katanya.

Kon Yeow yang juga Exco Komunikasi memberitahu bahawa beliau berpandangan bahawa program seperti majlis rumah terbuka penting dalam usaha memperkukuh perpaduan masyarakat, khususnya ketika terdapat segelintir pihak tertentu yang cuba memecahbelahkan rakyat.

“Mengambil kira banyak usaha ekstremis yang cuba memecah belah rakyat, maka saya berpandangan perlu ada platform seperti ini untuk memupuk perpaduan rakyat.

“Saya faham dalam keadaan ekonomi tidak menentu sekarang ini, namun penganjuran majlis seperti ini masih boleh diteruskan secara sederhana tanpa pembaziran,” ulasnya lanjut.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri untuk tidak menganjurkan majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri tahun ini sebagai langkah berjimat cermat susulan ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik di Asia Barat.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SIEW CHIA EN