BAGAN DALAM – Penduduk di kawasan Parlimen Bagan bakal menerima sebuah padang bola sepak yang menepati spesifikasi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) apabila projek tersebut siap dinaik taraf menjelang akhir tahun ini.
Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, pembangunan padang bola tersebut merupakan inisiatif melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh Bagan Specialist Centre dengan kos keseluruhan berjumlah RM2.2 juta.
Menurut beliau, padang tersebut telah siap dibangunkan pada tahun 2023 menerusi sumbangan RM1.2 juta daripada Bagan Specialist Centre, namun beberapa kemudahan asas masih belum dapat dilengkapkan.
“Antara kemudahan yang belum dapat disediakan termasuk tandas awam, lampu limpah dan sistem saliran yang baik, menyebabkan padang ini menjadi becak ketika hujan lebat,” katanya pada sidang media dekat Bagan Specialist Centre dekat sini semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, K. Kumaran; ADUN Bagan Jermal, Chee Yeeh Keen; Ahli Majlis bagi MBSP, C. Linggeswaran; Penolong Pengarah Jabatan Landskap MBSP, Nur Mushawwir Hrsikesa Thaitchana Muruti dan wakil daripada Bagan Specialist Centre.
Menurut Guan Eng, Pejabat Parlimen Bagan telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui mantan menterinya, Hannah Yeoh bagi mendapatkan peruntukan tambahan untuk menaik taraf kemudahan padang tersebut.
“Permohonan itu kemudiannya diluluskan oleh KBS dengan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi tujuan menaik taraf padang berkenaan termasuk pembinaan tandas awam lelaki dan wanita.
“Terima kasih diucapkan kepada Hannah Yeoh atas sokongan serta bantuan kewangan yang disalurkan bagi memastikan projek ini dapat disiapkan dengan sempurna,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah membuka tender bagi projek naik taraf tersebut bermula 12 Mac 2026.
“Ini merupakan satu pencapaian yang amat bermakna bagi kawasan Parlimen Bagan kerana kita dapat menyumbangkan sebuah padang bola sepak berkualiti untuk kegunaan orang awam,” katanya.
Sementara itu, Kumaran berkata, kerja-kerja naik taraf padang bola sepak milik MBSP itu melibatkan pembinaan tandas lelaki, wanita dan kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU).
Menurut beliau, projek tersebut turut merangkumi penambahan tempat duduk bertingkat (grandstand), pemasangan empat unit lampu limpah serta pemasangan sistem pemercik air automatik (sprinkler timer).
“Kita menjangkakan projek ini dapat dimulakan pada bulan April dengan tempoh pembinaan sekitar enam bulan, dan dijangka dapat dibuka kepada orang awam menjelang Disember tahun ini,” katanya.
Beliau menambah, apabila siap kelak, kemudahan tersebut bukan sahaja akan meningkatkan aktiviti sukan di kawasan berkenaan, malah memberi manfaat kepada komuniti setempat khususnya golongan belia.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS