Majlis Tahlil untuk Allahyarham P. Ramlee

SEBERANG JAYA – Sebagai komitmen berterusan Penang Institute (PI) dalam merangka program-program penghargaan tokoh-tokoh di negeri ini, satu Majlis Tahlil Allahyarham P. Ramlee dan Pejuang Seni yang lainnya diadakan di ruang legar Masjid Seberang Jaya di sini baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PI, Zairil Khir Johari dalam ucapannya berkata, program tersebut adalah pernyataan komitmen berterusan institut (PI) dalam merangka program-program penghargaan tokoh Pulau Pinang.

Beliau kemudian turut berkongsi dengan para jemaah masjid akan deretan program-program menarik yang dirancang sepanjang sebulan Festival P. Ramlee baru-baru ini.

Malah, Zairil juga menjemput para jemaah masjid dan seluruh Pulau Pinang untuk bersama-sama memeriahkan penganjuran festival berkenaan.

Majlis Tahlil khas yang bertujuan mendoakan kerahmatan dan menghargai jasa tokoh seni hebat Allahyarham P. Ramlee adalah bersempena penganjuran Festival P. Ramlee yang diadakan di seluruh negeri baru-baru ini.

Bertempat di Masjid Seberang Jaya, majlis dimulakan dengan Solat Maghrib berjemaah, bacaan Yaasin, Tahlil, Tazkirah dan ditutup dengan Solat Isya’ berjemaah.

Setelah selesai majlis bacaan Yaasin dan Tahlil, majlis diteruskan lagi dengan tazkirah khas disampaikan Ahli Majlis Syura Pulau Pinang, al-Fadhil Ustaz Soid Mohd. Amin.

Dalam sesi ilmu ringkas tersebut, Soid mengingati jemaah dengan pesanan agar memperkasakan amalan akhirat, malah, pada masa sama, kejayaan hidup dunia juga wajar dikejar dalam mencapai imbangan antara kedua-duanya.

ZAIRIL Khir Johari (kiri sekali) bersama-sama para jemaah masjid menjamu selera selepas selesainya Majlis Tahlil Allahyarham P. Ramlee dan Pejuang Seni yang lainnya di sini baru-baru ini.
ZAIRIL Khir Johari (kiri sekali) bersama-sama para jemaah masjid
menjamu selera selepas selesainya Majlis Tahlil Allahyarham P.
Ramlee dan Pejuang Seni yang lainnya di sini baru-baru ini.