Majoriti orang awam, peniaga di Seberang Perai patuhi SOP

Admin

KERAJAAN Negeri Pulau Pinang melalui pihak berkuasa tempatan, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) di beberapa daerah di negeri ini khususnya di Seberang Perai Tengah (SPT) yang kini diisytiharkan sebagai zon kuning.

Langkah tersebut diambil susulan beberapa kes aktif baru COVID-19 yang dilaporkan di negeri ini sejak 7 Ogos lalu.

‘Wira Oren’ MBSP memasang notis larangan penggunaan kemudahan di salah satu taman rekreasi awam di Seberang Perai Tengah sebagai langkah pencegahan COVID-19.

MBSP melalui Pelan Tindakan Serta-Merta yang dilancarkan minggu lalu, telah membuat 13 ketetapan dalam usaha membendung penularan COVID-19.

Antaranya penjaja tepi jalan di zon kuning hanya dibenarkan menjual makanan secara bungkus (take away atau tapau) yang mana aktiviti menjamu selera di gerai penjaja adalah tidak dibenarkan.

Serentak itu, sebanyak 12 pasar awam yang sibuk di bawah pentadbiran MBSP juga telah dikenal pasti dan ditempatkan dengan anggota penguat kuasa bagi memastikan SOP dipatuhi oleh para peniaga dan pengunjung.

Selain itu, MBSP turut menjalankan pemantauan di kawasan berisiko tinggi berlakunya jangkitan seperti taman rekreasi dan pasar awam  selain menjalankan kerja-kerja disinfeksi secara harian di zon kuning berbanding dua hari sekali sebelum ini.

Wartawan Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF bersama-sama jurugambar AHMAD ADIL MUHAMAD berkesempatan meninjau kadar pematuhan SOP oleh peniaga serta orang awam di beberapa lokasi di SPT seperti pasar awam, tapak penjaja, pasar raya serta taman rekreasi.

Kerja-kerja disinfeksi dilakukan di pasar-pasar awam setiap hari di zok kuning.

Berdasarkan pemerhatian di lokasi tapak penjaja di daerah SPT mendapati bahawa semua penjaja di tepi jalan hanya menjual juadah mereka secara bungkus sahaja selain mewajibkan pelanggan memakai pelitup muka sebelum melakukan urus niaga.

Begitu di pasar awam di sekitar Seberang Jaya yang mana kebanyakan peniaga dan pengunjung dilihat mematuhi SOP ditetapkan iaitu memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal, melakukan saringan suhu badan dan menyediakan pensanitasi tangan.

Salah seorang peniaga, ARSATH HUSSIN, 35, ketika ditemui memberitahu bahawa majoriti pelanggan yang datang ke kedainya dilihat mematuhi arahan pemakaian pelitup muka dan mengekalkan jarak fizikal.

Arsath Hussin.

“Ada juga segelintir pelanggan memakai pelitup muka tetapi bukan dengan cara yang betul yang mana mereka meletakkan pelitup muka di bawah dagu.

“Daripada segi penjarakan fizikal pula, kebanyakan pelanggan yang datang mematuhi arahan tetapi masih terdapat segelintir pihak yang kurang mengambil berat mengenai perkara ini,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Ahli Majlis bagi MBSP, FAHMI ZAINOL ketika bercakap kepada Buletin Mutiara menjelaskan bahawa setakat hari ini kadar pematuhan SOP masih berada pada tahap yang tinggi.

“Walau bagaimanapun, masih ada sebilangan peniaga yang tidak mengikut SOP mungkin disebabkan oleh kurang kesedaran, keliru atau tidak mendapat maklumat yang tepat.

Fahmi Zainol.

“Oleh itu, pihak MBSP masih lagi memberikan nasihat dan penerangan kepada peniaga-peniaga dan sekiranya masih juga gagal mematuhi SOP, kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka,” tegasnya.

Justeru, Fahmi menyeru kepada peniaga, penjaja dan orang awam khasnya supaya mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mengembalikan status Seberang Perai sebagai zon hijau.

“Kebanyakan orang awam dan peniaga yang saya jumpa semuanya pakai pelitup muka. Malah, premis perniagaan juga banyak yang menjual dan memberikan pelitup muka secara percuma kepada pelanggan sebagai inisiatif untuk mengelakkan penularan virus COVID-19,” ujarnya lagi.

Sementara itu, berdasakan statistik terbaru yang diterima daripada Unit Media dan Protokol MBSP, kadar pematuhan SOP dalam kalangan peniaga sehingga 18 Ogos lalu adalah sekitar 99.35 peratus.

Jumlah tersebut adalah berdasarkan 463,943 pemeriksaan yang dijalankan oleh MBSP di premis-premis perniagaan di sekitar Seberang Perai di sini.