Mak Ngah, pernah buang 300 telur usaha hasil bahulu sedap & gebu

ROHANI Harun atau lebih dikenali sebagai Mak Ngah.
ROHANI Harun atau lebih dikenali sebagai Mak Ngah.

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

MAK Ngah agak pemalu orangnya.

Mak Ngah hanya tahu buat bahulu sahaja, yang lain-lain kena tanya Pak Ngah,” pesannya siap kepada penulis sebelum memulakan sesi wawancara.

Mak Ngah atau nama sebenar, Rohani Harun, 56, terlibat dalam perusahaan kuih tradisional khusus kepada bahulu sejak tahun 1986, iaitu di kediamannya di Bukit Teh, Machang Bubuk, Seberang Perai Tengah (SPT).

Masa tu buat kecil-kecilan sahaja, sekadar memenuhi tempahan di kampung, tetapi apabila Jabatan Pertanian panggil datang berniaga di sini (bekas tapak kantin Pejabat Pertanian Daerah SPT), tempahan makin bertambah.

Di sini, pelanggan boleh berhenti dan beli pada setiap hari asalkan ada tempahan, Mak Ngah memang buka setiap hari,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Mak Ngah memberitahu bahawa resipi bahulu beliau adalah turun-temurun daripada keluarganya.

Arwah ibu buat untuk makan-makan keluarga sahaja. Setiap kali dia buat, Mak Ngah yang ketika itu berusia belasan tahun akan tolong bakar, masa tu guna sabut.

Memang tidak pernah cuba buat sendiri, malah selepas ibu meninggal dunia pun, Mak Ngah tidak pernah cuba buat walaupun untuk sekali,” ujarnya yang dikurniakan dua cahaya mata.

Berkongsi dengan lebih lanjut, pada tahun 1986, Mak Ngah memberitahu bahawa secara tiba-tiba, Pak Ngah ‘memaksa’ beliau membuat bahulu untuk dijual.

Mahu tak mahu, memang kena buat jugalah!

Memang banyak cubaan, sebab dulu, memang hanya bantu arwah ibu bakar (bahulu) sahaja, tidak pernah pun tolong yang lain dan cuba buat sendiri.

Ada sekali, kira-kira 300 biji telur terpaksa dibuang dalam tempoh satu hari sebab bahulu tidak menjadi. Ada yang jadi keras sebab terlebih tepung, ada pula yang jadi terlalu lembut sebab terkurang tepung.

Dalam tempoh dua hingga tiga bulan, macam-macam yang terjadi. Memang terasa nak putus asa, tapi Pak Ngah nak buat juga, tak sangka boleh sampai (tahap) sekarang,” kata Mak Ngah sambil tersenyum puas.

RUPA bentuk bahulu yang dihasilkan.
RUPA bentuk bahulu yang dihasilkan.

Bagi Mak Ngah yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik, keunikan bahulu beliau adalah ia asli dan tiada perisa tiruan dicampurkan. Malah, apa yang menarik adalah ia dijual dalam empat bentuk berbeza iaitu ikan emas, matahari, buah cermai dan ikan sedang.

Menyentuh mengenai strategi pemasaran produk keluarannya, Mak Ngah memberitahu bahawa ia adalah ‘bidang tugas’ suaminya, Pak Ngah atau nama sebenar, Sabdin Ahmad, 55, yang berasal Kampung Pelek, Penanti, SPT.

Mula-mula, kami pasarkan di sekitar kampung, kedai-kedai dan kini ada pemborong yang datang ambik.

Malah, pada musim perayaan termasuk Tahun Baru Cina, Mak Ngah macam tak menang tangan, pagi malam buat dan sukatan bertambah sekali ganda,” jelasnya sambil menyatakan bahan-bahan asas pembuatan bahulu adalah tepung, telur, gula dan essence vanilla bagi mengelakkan ia bebau hanyir.

Ketika ditanya mengenai cabaran dihadapi, Mak Ngah memberitahu bahawa persaingan adalah amat ketara.

Disebabkan faktor tersebut, Mak Ngah kini mempelbagaikan lagi produk keluarannya kepada kerepek pisang (tiga perisa), kerepek ubi keledek dan lain-lain mengikut permintaan semasa.

RUTIN di dapur.
RUTIN di dapur.

Bagi perancangan masa depan, Mak Ngah memberitahu bahawa beliau ingin memperkembangkan lagi perniagaannya, terutama pada aspek pasaran.

Sebelum mengakhiri sesi wawancara pada hari berkenaan, Mak Ngah sempat berkongsi dengan penulis bahawa beliau kadang-kala rasa terkilan kerana tidak sempat mewarisi resepi-resepi pembuatan kuih tradisional seperti kuih bakar, kuih kacang dan lain-lain yang turut dimahiri arwah ibunya.

Sayang tidak ambil resepi kuih-kuih lain.

Masa kecil-kecil tidak minat, tua-tua baru datang minat, itupun Pakcik (Pak Ngah) yang paksa,” ujarnya yang kini telah menurunkan resipi pembuatan bahulu kepada anak bongsu beliau.

INFO :

Mak Ngah Bahulu

Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang,

Bangunan IKS Jalan Kulim,

Kompleks Perniagaan Peladang, Cherok To’Kun,

14000 Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

No. Tel. : 017 – 521 6235 / 017 – 457 4177

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);