Projek serampang dua mata, atasi pencemaran & sungai ‘tersumbat’

TANJUNG BUNGA – Sebagai usaha mengatasi masalah muara sungai tersumbat dan pencemaran di pantai Batu Feringghi, sebuah saluran (outfall) sepanjang 120 meter yang dibina menganjur ke pantai dijangka siap menjelang Februari 2016 di sini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, saluran bersifat serampang dua mata tersebut bakal membolehkan aliran dua sungai iaitu Sungai Satu dan Sungai Batu, Batu Feringghi mengalir jauh ke tengah laut.

“Kini, kedua-dua muara sungai tersebut kerap dipenuhi mendakan dan tersekat sehingga terdedah kepada pencemaran.

“Justeru, apabila projek Pemuliharaan dan Pembaikan Kualiti Air Laut di Pantai Batu Feringghi ini siap, selain mengatasi pencemaran dan penutupan muara sungai, ia (projek) juga mampu menangani hakisan pantai.

“Serentak itu, projek tersebut juga bakal memperluaskan kawasan rekreasi jajaran pantai sejauh 30 meter bagi kemudahan riadah para pengunjung serta pelancong,” katanya pada sesi lawatan ke lokasi di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Haslinda Mohd. Hamran dan Pengarah Projek Indah Water Konsortium (IWK), Voon Kok Ping.

Mengulas lanjut, Haslinda memberitahu bahawa sebuah ‘jambatan’ juga akan dibina merentasi ‘outfall‘ berkaitan khas untuk aktiviti riadah.

“Kita yakin dengan kecekapan yang ada, projek ini akan dapat disiapkan demi kepentingan bersama khususnya pemuliharaan alam sekitar di Batu Feringghi,” ujarnya sambil menyatakan bahawa kos projek tersebut adalah berjumlah RM10.850 juta.

Dalam pada itu, Kok Ping menyatakan bahawa IWK juga akan membina saluran baru bagi tujuan pelepasan sisa kumbahan Gred A (Bersih) ke laut dengan keseluruhan kos bernilai RM40 juta meliputi pelan pembersihan serta pemasangan paip baru.

“Pelan rawatan sisa kumbahan yang kini adalah berkapasiti 30,000 P.E (population equivalent) akan dinaiktaraf kepada 60,000 P.E.,” jelas beliau sambil menyatakan bahawa orang ramai tidak perlu bimbang mengenai pencemaran yang mampu mengancam kebersihan serta kesihatan kerana keduadua aspek tersebut adalah dikawal ketat oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).