Makan di premis atau dine in dibenarkan mulai 18 Mei ini

Admin

GEORGE TOWN – Makan di premis makanan atau dine-in untuk sektor makanan serta minuman adalah dibenarkan bermula 18 Mei ini iaitu pada hari Isnin, maklum Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow melalui siaran langsung menerusi laman Facebook beliau hari ini.

Menurutnya, perkara tersebut telah diputuskan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang bersidang pada 13 Mei lalu.

“Dalam kata lain, bermula Isnin minggu depan (18 Mei 2020), Pulau Pinang akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sepenuhnya yang mana semua sektor yang dibenarkan di bawah PKPB oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) adalah dibenarkan di negeri ini.

“Justeru, pihak berkuasa tempatan (PBT) bersama-sama Exco Kerajaan Tempatan dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) akan menyelaras garis-garis panduan perlu bagi disesuaikan kepada kebenaran dine-in Fasa 2 ini,” ujar Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi pada siaran berkaitan.

Serentak itu, bagi memudahcara pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh premis-premis perniagaan, Kerajaan Negeri juga akan memperkenalkan sistem pendaftaran bagi pengesanan kontak, iaitu aplikasi Penang Contact Tracer, ataupun PGCare.

“Aplikasi PGCare ini merupakan projek usaha sama PPP iaitu public, private, partnership antara Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) dengan syarikat Madison Technologies yang disokong oleh Maxis Broadband Sdn. Bhd. Malaysia (perjanjian menerusi CMI) dan merupakan salah satu hasil perbincangan meja bulat maya, ‘Penang Lawan COVID-19 eCrowdSource: Hacking the Next Normal’ anjuran Digital Penang pada 20 April 2020.

“Anda boleh mengakses sistem ini di laman web, www.pgcare.my ataupun melalui www.penanglawancovid19.com.

“Di samping itu, aplikasi PGCare juga mampu menggantikan keperluan SOP mendaftar nama setiap pelawat yang memasuki premis perniagaan di Pulau Pinang sebagaimana diperuntukan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mana PGCare hanya memerlukan tiga langkah mudah, iaitu imbas kod QR; isi maklumat anda dan isytihar kepada pihak premis selepas anda check-in (masuk ke premis),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Padang Kota.

Mengulas lajut, Kon Yeow memberitahu bahawa sistem tersebut bukan sahaja menjimatkan masa dan menggelakkan sentuhan, malah ia juga memastikan maklumat peribadi seseorang individu adalah selamat serta tidak disalah gunakan.

“PGCare hanya akan merekodkan nama serta nombor telefon anda, dan semua maklumat ini hanya boleh diakses oleh Kerajaan Negeri. Pihak premis perniagaan dan orang lain selain Kerajaan Negeri adalah tidak dapat mengakses maklumat-maklumat tersebut.

“Di pihak Kerajaan Negeri, pangkalan data adalah diurus dan maklumat tersebut hanya akan diakses sekiranya terdapat permintaan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tujuan pengesanan kontak ataupun ‘contact tracing’ bagi wabak COVID-19.

“Malah, pangkalan data maklumat hanya akan disimpan untuk 30 hari sahaja dan bakal dilupus secara automatik selepas itu sebagaimana permohonan serta persetujuan daripada JKNPP,” ulasnya yang juga Ahli Parlimen Tanjong.

Justeru, beliau menyeru semua pemilik premis perniagaan dan rakyat Pulau Pinang secara amnya supaya memberi kerjasama untuk menggunakan sistem ini secara bertanggungjawab.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING

Video : ALISSALA THIAN