MAKPEM suarakan hasrat kolaborasi, tingkat kemahiran pekerja sosial

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyambut baik hasrat Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kebangsaan Malaysia (MAKPEM) yang ingin berkolaborasi dengan Kerajaan Negeri dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kebajikan sentiasa relevan dalam memenuhi keperluan umum.

 

 

Menurut Kon Yeow, di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memastikan bukan sahaja penyampaian perkhidmatan kebajikan berkualiti tetapi juga sentiasa memastikan kebajikan rakyat sebagai keutamaan.

 

 

“Kerajaan Negeri sememangnya amat komited dalam memastikan semua kebajikan rakyatnya diberi keutamaan tanpa menyisihkan mana-mana pihak.

 

 

“(Dan) semua komitmen yang ditonjolkan adalah demi kesejahteraan semua rakyat di negeri ini,” ujarnya menyambut baik kesungguhan MAKPEM dalam menggerakkan pertubuhan kebajikan di semua peringkat.

 

 

Turut hadir, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh dan Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri, Shaballah Zainal Abidin.

 

 

Terdahulu, Timbalan Presiden MAKPEM, Datin Paduka Khatijah Suleiman hadir mengadakan kunjungan hormat ke atas Kon Yeow dan menyuarakan hasrat untuk berkolaborasi dengan Kerajaan Negeri bagi meningkatkan kemahiran serta pengetahuan dalam kalangan pekerja sosial.

 

DELEGASI mengambil peluang bergambar kenangan bersama-sama Ketua Menteri dan Phee Boon Poh (duduk, kanan) di Komtar.

 

Dalam pertemuan selama 45 minit itu Khatijah berkata bahawa pihaknya amat berharap dapat saling bekerjasama dengan Kerajaan Negeri serta mendapat sokongan sama ada dari segi kewangan mahupun kepakaran bagi mengadakan siri latihan kepada pekerja sosial terutama di negeri ini.

 

 

“MAKPEM selaku badan induk kebajikan turut menjadi penyelaras kepada 55 badan kebajikan sukarelawan di peringkat kebangsaan.

 

 

“Malah, MAKPEM juga merupakan badan induk kebajikan bagi lebih 400 pertubuhan kebajikan di peringkat akar umbi yang bukan sahaja menawarkan perkhidmatan sosial kepada kelompok keluarga tetapi juga pusat-pusat jagaan dan komuniti.

 

 

“Kumpulan sasar bermula daripada peringkat kanak-kanak sehinggalah kepada orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan warga emas.

 

 

“Oleh demikian, adalah amat penting bagi menyediakan pekerja sosial dengan kemahiran berkaitan agar perkhidmatan yang diberikan kepada kumpulan sasar berkualiti,” ujarnya yang turut terlibat dengan Majlis Kebangsaan Rumah dan Perkhidmatan Cheshire Malaysia.

 

 

Dalam pada itu, Boon Poh turut berkongsi beberapa inisiatif serta  program kebajikan yang telah dan sedang dirangka oleh Kerajaan Negeri.

 

 

 

“Majlis kebajikan di peringkat negeri Pulau Pinang ada menyediakan beberapa kerangka kerja kebajikan untuk rakyat di negeri ini, namun, kerana (penularan pandemik) COVID-19, maka ia tertangguh sementara waktu.

 

 

“Mungkin sebagai permulaan, kita boleh berkolaborasi untuk mengadakan Training of Trainers (TOT) kepada pekerja sosial khasnya mereka yang terlibat dengan penjagaan warga emas dan OKU,” cadang beliau yang turut mahu penyediaan pelan strategik pekerja sosial dapat diteruskan semula.

 

 

Bagi Shaballah pula, beliau menyifatkan peranan badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pulau Pinang sangat proaktif dalam membela kebajikan dan nasib masyarakat.

 

 

“Tidak seperti negeri-negeri lain yang saya pernah berkhidmat, di Pulau Pinang, NGO sangat proaktif dan bertenaga.

 

 

“Kelompok (NGO) inilah yang banyak membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk sampai ke peringkat akar umbi,” katanya.

 

 

Naib Presiden MAKPEM, Dr. Sulaiman Abdul Mutalib; Setiausaha Agong Kehormat, Salmah Nordin dan Bendahari Agong Kehormat MAKPEM, Samuel D. John antara yang turut hadir pada pertemuan tersebut.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN