Malik Faisal pembuat bot fiberglass tempatan

BELIAU pernah mencadangkan satu sistem pengangkutan pantai diwujudkan di Pulau Pinang selepas Kerajaan Negeri berpindah tangan beberapa tahun lepas.

Exco Pembangunan Pelancongan dan Kebudyaan, Law Heng Kiang sendiri menyatakan minat pada cadangan itu demi mengembangkan potensi pelancongan di negeri ini.

Sejak itu, beliau dipelawa menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pembangunan Pelancongan, walaupun cadangan itu masih dipertimbang untuk dilaksanakan.

Peribadi yang dimaksudkan adalah Malik Faisal Abdul Rahim, 38.

“Cadangan itu memang pernah disuarakan dan Y.B. Danny (Heng Kiang) telah melakukan sebaik mungkin untuk merealisasikan cadangan tersebut.

“Pantai-pantai di Pulau Pinang semuanya cantik, sebab itu diburu oleh pelancong dalam negara dan luar.

“Sebab itu kita cadang projek ini, kita panggil pengangkutan itu ‘water cruise’ macam ala-ala teksi pelancongan, biar nampak lain dari negeri-negeri lain,” ujar Malik Faisal semasa diwawancara oleh wartawan Buletin Mutiara (BM), ZAINULFAQAR YAACOB di George Town baru-baru ini.

Beliau memuji inisiatif pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng kerana giat memberi tumpuan pada mengembangkan potensi sektor pelancongan di negeri ini.

Malik adalah anak kelahiran Jelutong. Beliau mempunyai isteri dan sepasang anak, lelaki (11 tahun) dan perempuan (9 tahun).

Anak muda ini mendapat pendidikan menengah di Sekolah Vokasional Batu Lanchang, dalam jurusan automotif.

Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di Institut Latihan Perindustrian (ILP) kampus Kuala Lumpur, dalam jurusan yang sama.

Selepas bergelar graduasi, beliau terus terjun dalam sektor perindustrian.

Beliau pernah bekerja di beberapa industri, antaranya ASE Semiconductor, Bayan Lepas.

Selepas itu, beliau dilantik menjadi perunding mekanikal di Everthecnology SDN. BHD dekat Batu Maung.

Beliau tidak lama di situ. Beliau kemudiannya menubuhkan Nothen Technology, iaitu syarikat pembuatan berasaskan fiberglass atau kaca serat pada tahun 2008 di Batu Maung, Bayan Lepas.

“Bekerja makan gaji memang sangat baik, tetapi, kalau nak berjaya perlu berniaga.

Berniaga itu sunnah.

“Kita berkemampuan membuat semua barang berasaskan fiberglass, dari jenis tangki ternak ikan sampailah pada membina bot fiberglass,” ujar Malik Faisal.

Tanggungjawab sosial

Walaupun sibuk dalam dunia korporat, Malik Faisal tidak pernah lupa mengenai tanggungjawab kepada ummah.

Malik merupakan Setiasuaha Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) Pulau Pinang sejak tahun tahun 2009 hingga sekarang.

Menurut beliau, 428 ahli, terdiri oleh kontraktor, usahawan, pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) serta peniaga berpayung di PERDASAMA.

“Ini tanggungjawab kita untuk ummah. Kita bantu dari segi khidmat kepakaran serta pemudah cara untuk mendapatkan pinjaman
mikro kredit daripada BSN (Bank Simpanan Nasional), Agro Bank, SME Bank dan agensi kerajaan yang berkaitan.

“Sebenarnya PERDASAMA ini sama dengan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang. Cuma fungsinya lebih kepada untuk membantu Melayu Pulau Pinang, khususnya kelas menengah dan ke bawah,” ujar beliau.

Untuk menjadi ahli PERDASAMA, seseorang itu perlu berniaga dan mempunyai pendaftaran perniagaan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

RM30 yuran pendaftaran. Manakala, RM30 lagi yuran tahunan jika syarikat berstatus Enterprise dan RM50 jika syarikat berstatus sendirian berhad.

Selain giat aktif dalam pertubuhan keusahawanan, Malik turut memainkan peranan penting dalam bidang pendidikan belia.

Atas kedudukannya sebagai Setiausaha Eksekutif Yayasan Bina Ilmu, pasukannya giat mengadakan program motivasi serta berorientasikan pendidikan peringkat sekolah.

Bina Tenaga Pakar Tempatan Dalam pada itu, Malik Faisal turut memuji komitmen Kerajaan Negeri menyumbang pukat kepada nelayan pantai sebelum ini.

Malah, katanya, inisiatif Kerajaan Negeri membantu nelayan pantai memulihara bot serta kelengkapan lain akibat bencana ribu baru-baru ini wajar dipuji.

“Atas pengalaman peribadi, baiki bot umpamanya, kos upah memang mahal. Tetapi, kalau kepakaran ini dikongsi dengan nelayan-nelayan pantai di negeri ini, ia dapat menjimatkan kos penyelenggaraan bot-bot nelayan.

“Sebenarnya, mereka boleh baiki sendiri dengan kos yang rendah, jika dikongsi kepakaran ini sebagaimana yang saya kongsikan dengan pensyarah-pensyarah di Kolej Komuniti sebelum ini,” ujarnya.

Pandang serong

Secara peribadi, beliau berkata pentadbiran Kerajaan Negeri hari ini jauh lebih baik berbanding sebelumnya.

Namun, beliau berkata, pendapat peribadi itu tidak boleh menjernihkan pandangan serong pihak tertentu kepada dirinya.

“Saya memang komited bekerjasama untuk membina keyakinan usahawan-usahawan Melayu terhadap integriti Kerajaan Negeri hari ini.

“Atas sebab itu, saya turut menyertai Jawatankuasa Promosi Perdagangan di bawah Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna),” kata Malik Faisal sambil merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri.

Harapan

Malik Faisal berkata, PERDASAMA hatta beliau sendiri mempunyai banyak harapan untuk dikongsi dengan Kerajaan Negeri.

Itu, termasuk cadangan semula mewujudkan street market dekat Jalan Phee Choon, Lebuh Buckingham dan Lebuh Acheh dengan kerjasama semua pihak berwajib.

“Saya lihat identiti umat Islam boleh berkembang dalam dalam zon pelancongan dunia di George Town ini jika kita sama-sama berusaha mewujudkan beberapa street market ini.

“Kita ada tanah wakaf di sini (George Town). Kita ada premis di bawah Baitulmal di sini. Di sini sudah menjadi pusat pelancongan dunia, Cuma apa yang penting ialah bagaimana kaedah kita memanfaatkannya selari dengan hasrat Kerajaan Negeri.

“Saya boleh membayangkan kejayaan kita mewujudkan identiti umat Islam di tengah-tengah George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO ini jika semua MMK berwajib bersama-sama MAINPP (Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang),” ujar beliau.