Jelajah ‘Penang Sihat’ tawar pemeriksaan kesihatan percuma

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Penduduk di kawasan bandar dan pedalaman kini boleh mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara percuma di klinik bergerak yang dilancarkan baru-baru ini sempena program ‘Penang Sihat’ di sini.

Program hasil kolaborasi Kerajaan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) tersebut menfokuskan kepada pemeriksaan kesihatan serta mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan orang awam.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, program tersebut bakal dijalankan sebulan sekali melibatkan beberapa doktor dan kumpulan paramedik.

“Program sebegini banyak diminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan supaya diwujudkan satu pasukan perubatan yang dapat datang ke kawasan kampung dan bandar untuk berikan pemeriksaan kesihatan percuma.

“Kumpulan ini bukan sahaja akan jalankan pemeriksaan kesihatan tetapi cuba untuk membangkitkan kesedaran masyarakat tempatan tentang bahaya penyakit non-communicable disease (NCD),” katanya di sini

Menurut Afif, program tersebut akan dijalankan sebulan sekali pada hujung minggu dengan melibatkan komuniti setempat dan bakal menjelajah seluruh Pulau Pinang.

Turut diadakan adalah aktiviti gotong-royong, pameran bahaya denggi dan penjagaan kesihatan.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, selain menjalankan pemeriksaan kesihatan secara percuma, pameran, ceramah, bimbingan dan nasihat secara sukarela turut akan diberikan.