Tindakan tegas ke arah laluan mesra pejalan kaki

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bakal menjalankan operasi dan mengambil tindakan tegas bagi mendidik pemilik premis yang didapati terus menggunakan laluan pejalan kaki sebagai hak persendirian dengan mempamerkan produk perniagaan masing-masing di sini.

Ahli Majlis MPPP, Dr. Tan Kim Hooi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Pendidikan Awam pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit berkata, Program Pendidikan Awam Laluan Mesra Tanpa Halangan Untuk Pejalan Kaki mula diperkenalkan sejak Oktober lalu dan bakal dijalankan dalam tempoh percubaan selama tiga bulan.

“Dalam tempoh percubaan ini, notis akan diberikan kepada mereka (pemilik premis) yang didapati meletakkan barangan di luar premis hingga menghalang laluan pejalan kaki dan diikuti dengan surat amaran jika masih ingkar.

“MPPP berharap program pendidikan awam ini sedikit-sebanyak dapat menjamin dan memelihara keselesaan dan keselamatan pejalan kaki awam dan pelancong yang menggunakan kaki lima di negeri ini,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Majlis MPPP, Nur Zarina Zakaria, Mhd. Nasir Zakaria dan Pengarah Penguatkuasa MPPP, Shalehudin Hashim. Menurut Kim Hooi, ramai peniaga di sekitar bandar ini menggunakan laluan pejalan kaki sebagai ruangan milik peribadi dengan meletak atau mempamerkan barangan perniagaan mereka.

“Mereka sewenang-wenangnya meletakkan pelbagai barang termasuk barangan perniagaan hingga menghalang pejalan kaki daripada menggunakan ruang khas tersebut.

“Ini merupakan satu kesalahan. Jika didapati bersalah, mereka (peniaga) boleh didakwa mengikut Seksyen 46 (1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan boleh didenda maksimum RM500.

“Bermula awal Januari tahun hadapan, kita akan mulakan langkah lebih drastik selepas tempoh pendidikan awam ini tamat iaitu dengan mengeluarkan saman kepada mereka (peniaga) yang masih ingkar dengan notis serta amaran yang diberikan,” tegas beliau.