Manfaat tempoh PKP, anak muda usahakan penternakan burung puyuh

Admin

TEMPOH Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan Kerajaan Persekutuan pada 18 Mac 2020 akibat penularan pandemik COVID-19 pastinya menghadirkan cerita berbeza dalam kehidupan setiap rakyat Malaysia.

Bagi yang kurang bernasib baik, pelaksanaan PKP telah menyebabkan mereka hilang mata pencarian manakala bagi yang berani mencuba, tempoh tersebut semestinya dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk menghasilkan sumber pendapatan baharu.

RAHMAT RAIHAN SALLEH, 24, anak muda yang menggunakan peluang semasa tempoh PKP untuk memulakan perniagaan baru iaitu penternakan burung puyuh secara komersial yang mampu mendatangkan pulangan agak lumayan.

Ketika ditemui Buletin Mutiara dekat Pinang Tunggal baru-baru ini, Rahmat memberitahu bahawa beliau memulakan perniagaan burung puyuh pada akhir Mac 2020 sejurus selepas pelaksanaan PKP.

Menurut beliau, rasa bosan ekoran tidak melakukan sebarang pekerjaan pada tempoh tersebut telah mencetuskan idea untuk beliau memulakan perniagaan penternakan burung puyuh.

Rahmat Raihan Salleh menunjukkan produk burung puyuh yang sedia dijual di pasaran.

“Sebelum ini, saya bekerja di kilang tetapi semasa PKP saya tidak bekerja menyebabkan saya banyak menghabiskan masa di rumah tanpa melakukan apa-apa.

“Jadi, saya cadangkan kepada isteri untuk mencuba penternakan burung puyuh dan apabila dia bersetuju, saya membeli kira-kira 20 ekor anak burung puyuh bersama dedak untuk dibela sebagai permulaan.

“(Dan) bermula dari situ, lama-lama timbul rasa seronok menyebabkan saya mengambil keputusan membina sangkar burung puyuh bersaiz agak besar untuk menjalankan penternakan secara komersial.

“Selepas sangkar siap dibina di perkarangan rumah, saya buat keputusan untuk tambah lagi 400 ekor anak burung puyuh dan seterusnya bertambah menjadi 5,000 ekor kini,” ujarnya mesra pada sesi wawancara baru-baru ini.

Rahmat Raihan menyatakan bahawa beliau memulakan perniagaan penternakan puyuh secara komersial dengan bermodalkan lebih RM20,000 yang digunakan untuk menyiapkan sangkar, membeli dan memproses burung puyuh, bekalan dedak serta beberapa kelengkapan lain.

Tambah beliau, walaupun modalnya agak besar tetapi secara umumnya menternak burung puyuh mampu menjana pendapatan lumayan dalam tempoh yang agak singkat.

“Tempoh matang bagi burung puyuh adalah 30 hari, dan ini bermakna dalam masa sebulan sahaja kita sudah boleh mendapatkan hasilnya.

“Pasaran puyuh pula agak luas bukan sahaja di pasar-pasar awam malah, ia juga turut menerima tempahan daripada pemborong  serta restoran makanan di sekitar negeri Pulau Pinang dan Kedah pada setiap hari,” katanya.

Rahmat memberitahu bahawa dalam tempoh sebulan, beliau mampu menjual kira-kira 5,000 ekor burung puyuh dan adakalanya permintaan yang diterima melebihi bekalan yang ada.

“Daging burung puyuh yang siap diproses akan dijual sama ada dalam bentuk daging segar ataupun sejuk beku dengan harga yang ditetapkan adalah antara RM24 hingga RM27 bagi setiap kilogram (kg) mengikut gred iaitu A, B, C dan D.

“Jadi, dalam sebulan saya mampu meraih keuntungan daripada hasil jualan burung puyuh bawah jenama Puyuh Rahmat sejumlah kira-kira RM2,000,” ulasnya lanjut.

Justeru, kata Rahmat, beliau dan isteri kini dalam perancangan untuk membina satu lagi sangkar bersaiz besar sebagai usaha untuk menambah bekalan burung puyuh bagi memenuhi permintaan pelanggannya.

Burung puyuh yang masih belum capai umur matang.

“Masalah yang saya hadapi kini adalah kekurangan modal kerana untuk membina sangkar yang sempurna dan menambah bekalan burung puyuh mungkin memerlukan kewangan yang agak besar iaitu kira-kira RM50,000.

“Selain itu, kami juga sedang merancang untuk mempelbagaikan lagi produk burung puyuh seperti serunding puyuh serta puyuh perap, cuma kekangannya kini adalah kekurangan bekalan,” ulasnya.

Walau bagaimanapun kata Rahmat, membela burung puyuh bukanlah suatu pekerjaan yang mudah kerana ia memerlukan pemerhatian dan penjagaan rapi.

“Selain modalnya yang agak tinggi, membela burung puyuh juga mempunyai risiko tersendiri antaranya anak burung berumur kurang daripada tiga minggu adalah mudah mati sama ada disebabkan penyakit ataupun dihimpit oleh burung yang lebih besar.

“Namun begitu, sekiranya burung-burung ini sudah besar, penjagaannya menjadi lebih mudah dan tidak memerlukan penjagaan yang teliti lagi.

“Oleh itu, sekiranya saya membeli 2,000 ekor anak burung puyuh tetapi apabila dijual, jumlahnya akan berkurang kira-kira 100 hingga 200 ekor walaupun dijaga dengan berhati- hati,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Rahmat berkata bahawa peningkatan harga bekalan dedak sejak pelaksanaan PKP turut menjadi cabaran dalam perusahaan penternakan burung puyuh pada masa kini.

“Sekarang ini, untuk bekalan dedak sahaja saya terpaksa mengeluarkan modal lebih RM5,000 sebulan untuk 50 uncang ke atas.

“Tambahan pula, sekarang saya hanya usahakan bersama isteri dan tidak mempunyai tenaga kerja lain. Ini bermakna semua proses bermula dari sembelihan, pembersihan, pembungkusan serta pemasaran dilakukan oleh kami berdua sahaja,” jelasnya.

Ditanya mengenai perancangan perniagaan pada masa hadapan, Rahmat memberitahu bahawa beliau kini sedang mempertimbangkan untuk mengusahakan penternakan burung puyuh sepenuh masa.

“Kalau boleh, saya mahu memberikan perhatian sepenuhnya kepada perniagaan ini supaya dapat memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat,” ulasnya yang masih lagi berkhidmat di salah sebuah kilang di negeri ini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS