Perusahaan kuari jadi produk pelancongan unik

Admin

JIKA bercakap tentang kegiatan kuari, pastinya yang terlintas dalam fikiran kebanyakan orang adalah perihal kesan negatif berkaitan pencemaran sama ada alam sekitar, udara mahupun bunyi.

Namun, tahukah kita bahawa perusahaan kuari juga mempunyai sisi penting dalam arus pemodenan negara terutamanya yang berkaitan dengan pembangunan dan pertumbuhan sektor ekonomi.

Foo Fook Sin antara yang bertanggungjawab mengemudi operasi syarikat FYS Marketing.

Baru-baru ini, pasukan Buletin Mutiara diberi peluang untuk mendekati dan memahami lebih mendalam mengenai kepentingan kegiatan kuari kepada kehidupan dan pembangunan masyarakat di negara ini termasuk Pulau Pinang.

FYS Marketing Sdn. Bhd. (FYS) antara syarikat yang telah menjalankan perusahaan kuari sejak 1960 iaitu lebih 60 tahun lalu di negeri ini dan berjaya menonjolkan perspektif berbeza bagi kegiatan tersebut.

Pengerusinya, ZEEMS FOO KHENG SIN memberitahu bahawa sumber galian seperti granit, batu kerikil, batu hancur, pasir, sanga dan konkrit merupakan elemen penting dalam industri pembinaan di negara ini.

Cabaran

Tambah beliau, sumber galian dapat membantu manusia membangunkan infrastruktur dan prasarana, membina jalan raya serta meningkatkan kualiti kehidupan.

“Tidak akan ada pembangunan tanpa kegiatan kuari kerana kebanyakan bahan asas untuk memulakan pembinaan adalah menggunakan sumber galian.

TAMAN Agro yang turut menempatkan rumah hijau sesuai sebagai kawasan riadah penduduk sekitar.

“Namun begitu, pengetahuan masyarakat tentang kuari masih lagi minimum, walau bagaimanapun kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana aktiviti ini tidak diterangkan dan dijelaskan dengan baik kepada orang ramai.

“Oleh hal demikian, untuk mengubah pandangan masyarakat terhadap kegiatan kuari, kami telah melancarkan konsep baru yang dikenali sebagai ‘pelancongan kuari’ yang mana ia dapat membantu mengubah persepsi masyarakat terhadap industri ini.

“Sebagai contoh, kami menetapkan beberapa zon bagi tapak kuari kami, iaitu bermula dengan kawasan rekreasi sehingga zon bahaya,” katanya pada sesi taklimat khas sempena lawatan Buletin Mutiara ke tapak kuari FYS di Bukit Mertajam baru-baru ini.

Tambah Kheng Sin, cabaran utama dalam mengusahakan kegiatan kuari adalah untuk menangani aduan daripada penduduk setempat berkaitan isu keselamatan serta pencemaran alam sekitar.

“Contohnya pada tahun 2012, FYS menerima aduan daripada komuniti setempat yang baru sahaja berpindah ke skim perumahan yang jaraknya kira-kira 500 meter (m) daripada tapak kuari kami.

“Aduan tersebut dikemukakan kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) berkaitan isu pencemaran habuk, bunyi, gegaran serta keselamatan jalan raya akibat operasi kuari.

“Ini adalah cabaran utama yang kami hadapi dalam beberapa dekad lalu yang mana jika krisis ini tidak ditangani dengan baik, ia akan mendatangkan risiko penutupan operasi terhadap pihak syarikat,” jelasnya.

Taman agro yang berfungsi sebagai zon penampan untuk kawasan kejiranan.

Implementasi Model ESP

Kheng Sin menyatakan bahawa FYS telah merangka strategi untuk mengubah cara tradisional kegiatan kuari dengan mengintegrasikan ‘Sistem Pembuatan Industri’ dan Konsep Ekopelancongan (ESP) yang menggunakan teknologi hijau bagi mengurangkan kesan pencemaran.

Oleh itu, menurut beliau, FYS telah mengimplementasikan tiga tahap di bawah ‘Model ESP’ iaitu Persekitaran, Keselamatan dan Pengeluaran (Tahap 1); Pendidikan, Sosial dan Manusia (Tahap 2) manakala Tahap 3 pula merangkumi Luar Biasa, Penyeragaman dan Profesionalisme.

Tahap 1 daripada Model ESP adalah melibatkan persekitaran, keselamatan dan pengeluaran yang memfokuskan operasi syarikat untuk memastikan premis kuari dalam keadaan bersih, hijau serta selamat.

“Dengan mengadaptasikan amalan terbaik iaitu Model ESP dalam perusahaan kuari yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu telah berjaya meminimumkan impak keselamatan dan persekitaran kepada komuniti.

“Selain itu, inisiatif ini juga dapat mempromosikan kegiatan pelancongan kuari sebagai tanda kebersamaan syarikat dengan komuniti setempat melalui perusahaan kuari yang lebih mampan.

TANGKI yangnmenempatkann ikan talapia dan mampu menjadi salah satu tarikan kepada pengunjung cilik.

“Model ESP yang diimplementasikan oleh FYS menjadi model contoh kepada kebanyakan industri kuari di wilayah utara sehingga kami berjaya menerima tiga pengiktirafan di peringkat kebangsaan serta antarabangsa (2),” ulasnya.

Mengulas lanjut, Kheng Sin menyatakan bahawa Model ESP turut melibatkan aspek keselamatan iaitu usaha untuk mewujudkan persekitaran kerja yang sihat serta selamat dan meningkatkan kesedaran tentang risiko serta bahaya semasa berada di premis kuari.

“Dengan dibantu oleh pengawasan 36 kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di beberapa lokasi strategik secara tidak langsung telah meningkatkan keefisienan operasi kuari di bahagian huluan (memuat serta mengangkut) dan hiliran (penghancuran serta penyaringan), pengawalan kualiti produk serta keselamatan di sekitar premis kuari.

“Selain CCTV, FYS turut menempatkan pengawal keselamatan yang bertugas selama 24 jam sehari di tapak kuari,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa Tahap 2 Model ESP adalah lebih tertumpu  kepada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada komuniti setempat untuk mewujudkan persekitaran yang sihat, gembira dan lebih memahami industri kuari melalui pendidikan.

Buah tin antara yang terdapat di dalam rumah hijau.

“Sementara Tahap 3 pula adalah memfokuskan penetapan standard amalan terbaik pengkuarian dengan objektif akhir adalah untuk menjenamakan semula industri kuari dan meningkatkan profesionalisme tukang pemecah batu setaraf peguam, doktor serta lain-lain pekerjaan,” katanya.

Pelancongan Kuari

Menurut Kheng Sin, FYS merupakan syarikat pengusaha kuari pertama negara yang memperkenalkan aktiviti pelancongan kuari dan membuka pintu kepada orang awam.

Beliau berkata bahawa langkah tersebut adalah merupakan sebahagian usaha yang dilaksanakan oleh FYS untuk mengubah pandangan serta persepsi masyarakat umum terhadap kegiatan kuari.

“Lazimnya, kuari merupakan zon larangan atas faktor-faktor keselamatan, dan orang awam biasanya tidak dibenarkan masuk untuk melihat kegiatan yang dilakukan di tapak kuari.

“Walau bagaimanapun, pada tahun 2012, kami memulakan rancangan untuk membangunkan kawasan selamat yang mana orang awam boleh masuk ke tapak kuari kami dari jam 8 pagi hingga 7 malam.

“Justeru, kini kira-kira 10 peratus ruang di hadapan pintu masuk kuari dibangunkan sebuah taman agro yang turut berfungsi sebagai zon penampan untuk kawasan kejiranan.

“Taman yang dikenali sebagai rumah hijau ini ditanam dengan sayuran-sayuran serta buah-buahan menggunakan kaedah hidroponik dan akuaponik.

Penternakan lebah kelulut yang juga merupakan salah satu tarikan.

“Oleh itu, orang ramai juga dapat meluangkan masa bersama-sama keluarga dan rakan-rakan dengan mengunjungi tempat ini sambil menjelajah rumah hijau di tapak kuari kami.

“Melalui usaha mewujudkan persekitaran yang hijau dan bersih seperti ini, masyarakat pastinya akan lebih memahami kepentingan kegiatan kuari,” jelasnya.

Bersebelahan rumah hijau, FYS turut membangunkan kawasan penternakan lebah kelulut yang mana pengunjung boleh datang dan merasai madu asli yang dihasilkan terus dari sarang.

Selain itu tambah Kheng Sin, pengunjung juga dapat melihat ikan talapia pelbagai saiz yang dibela dalam tiga unit tangka besar di belakang rumah hijau.

“Kami juga menyediakan sebuah gazebo berhampiran sangkar ikan untuk digunakan oleh pengunjung untuk duduk serta berehat seketika sambil menikmati pemandangan tumbuh-tumbuhan seperti pokok bunga orkid di taman bersebelahan.

“Kawasan ini memang diklasifikasikan sebagai ‘zon selamat’ yang mana di sini terletaknya pejabat pengurusan, kafe dan rumah penginapan untuk para pekerja.

SIJIL-sijil penganugerahan yang diterima FYS Marketing Sdn. Bhd..

“Bagi tujuan keselamatan juga, para pengunjung diminta membuat temu janji terlebih dahulu sebelum datang melakukan aktiviti di sini.

“Jika pengunjung datang secara berkumpulan, mereka boleh memilih program pendidikan yang mana kami sediakan khidmat jelajah untuk melihat aktiviti di sini termasuk lokasi yang menempatkan mesin berat serta kerja-kerja mengekstrak granit,” ujarnya.

Difahamkan, FYS telah menerima beberapa pengiktifaran atas kecemerlangan mengendalikan kegiatan kuari secara lebih lestari sama ada peringkat negeri mahupun kebangsaan.

Antara anugerah yang telah diraih adalah Sustainable Development Award 2019 oleh Junior Chamber International Malaysia (JCI Malaysia); Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerja tahun 2017 dan 2018 serta Anugerah Cemerlang oleh Institut Kuari Malaysia.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS