Manfaatkan semaksimum mungkin Dewan Orang Ramai Permatang Pasir – Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri (tiga kiri) diiringi Muhammad Faiz Fadzil (kanan sekali), Dr. Norlela Ariffin (dua dari kiri) dan Nurul Izzah Anwar (kanan sekali) pada acara menandatangi plak perasmian projek Dewan Orang Ramai Permatang Pasir dekat Kampung Pelet di sini pada pagi tadi.

PERMATANG PASIR – Kos pemajuan Dewan Orang Ramai Permatang Pasir adalah sebanyak RM3,205,703.03 sementara proses pengambilan tanah pula melibatkan perbelanjaan kira-kira RM1.9 juta.

Semasa berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap projek Kerajaan Negeri tersebut akan dimanfaatkan semaksimum mungkin dengan aktiviti sosial dengan penglibatan komuniti lokal.

“Kita sedar kepentingan pembangunan yang seimbang, maka adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat pada peringkat lapangan dapat merasai nikmat kemajuan di sebalik mercu kepesatan (pembangunan) dan pelaburan Pulau Pinang.

“Dengan kapasiti 500 orang pada satu-satu masa, masyarakat setempat kini tidak lagi tercari-cari dewan yang besar dan selesa di kawasan lain,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi dalam majlis berkaitan di sini pada 1 April 2022.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong turut berharap projek infrastruktur awam baharu itu akan meningkatkan lagi kualiti hidup rakyat teramai sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Permatang Pasir dan Penanti, terutama Kampung Pelet di sini.

Pada kesempatan sama, beliau turut merakamkan ucapan selamat menyambut bulan Ramadan dan menjalani ibadah berpuasa kepada seluruh umat Islam di negeri ini.

Difahamkan, projek rundingan untuk mengambil alih tanah terbiar tersebut dilakukan sejak tahun 2013.

Selanjutnya, Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah (SPT) bersama-sama Jabatan Kerja Raya (JKR) memulakan projek pemajuan tersebut pada 15 Ogos 2019 dan siap sepenuhnya pada 5 Januari 2022 setelah mengambil kira pelbagai kekangan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebelum itu, Pegawai Daerah SPT, Kamarul Haizal Koderat dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung iaitu dari proses pengambilan tanah sehingga kerja-kerja pemajuan projek.

“Cetusan untuk mewujudkan dewan ini adalah daripada Ahli Parlimen Permatang Pauh (Nurul Izzah Anwar).

“Proses rundingan dalam pengambilan tanah bukan singkat, tambahan pula berdepan pelbagai rintangan termasuk (kekangan dek) pandemik COVID-19,” ujarnya sambil merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Kon Yeow.

Selain Nurul Izzah, hadir sama ialah Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin yang juga ADUN Penanti; ADUN Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad dan Pengarah JKR Negeri Pulau Pinang, Ir. Ahmad Nadzri Abdul Majid.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS