Manfaatkan sistem analitik video, CCTV untuk pantau SOP semasa pandemik – Jagdeep

GEORGE TOWN – Sebanyak 1,243 unit kamera litar tertutup (CCTV) termasuk 553 unit dilengkapi sistem analitik video yang siap dipasang di seluruh negeri ini akan dimanfaatkan demi membantu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) meningkatkan operasi pemantauan prosedur operasi standard (SOP) semasa pandemik COVID-19.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata bahawa Kerajaan Negeri hari ini bukan sahaja akan menambah bilangan CCTV di kawasan strategik sebagaimana dicadangkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), bahkan akan menaik taraf sistem pintar sedia ada itu dengan kelengkapan sistem analitik video.

“Kita sedang menaik taraf daripada CCTV ‘biasa’ kepada (sistem) analitik video.

“Saya telah mengarahkan kedua-dua Datuk Bandar (MBPP dan MBSP) saya untuk meningkatkan operasi pemantauan tahap pematuhan SOP dengan menggunakan sistem pintar ini,” jelasnya yang juga Ahli Undangan Dewan Negeri (ADUN) Datuk Keramat di Pusat Operasi Pintar (IOC) dekat Komtar pada 15 Mac 2021.

Bercakap pada sidang media sama, Pengarah Kejuruteraan MBPP, Ir. A. Rajendran memberitahu bahawa kompaun tidak boleh dikeluarkan berdasarkan rakaman CCTV tersebut.

Sebaliknya, menurut beliau, kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan hanya boleh memanfaatkan rakaman CCTV tersebut untuk membantu operasi penguatkuasaan di lapangan, seperti memberi amaran menerusi pembesar suara pintar sebelum mengeluarkan kompaun berwajib kepada mereka yang ingkar perintah.

Sebelum pada itu, Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali memberitahu bahawa 528 unit daripada 1,001 unit CCTV yang siap dipasang di kawasan pentadbiran PBT berkenaan telahpun dilengkapi sistem rakaman video analitik.

Sementara di bahagian pentadbiran Seberang Perai pula, beliau memberitahu bahawa sejumlah 25 unit daripada 242 CCTV dilengkapi sistem sama.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MBPP