Mangsa buli siber perlu buat laporan polis elak tekanan emosi, saran  Exco

GEORGE TOWN – Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng menyeru mangsa buli siber supaya berani tampil membuat laporan polis.

 

Jelasnya, langkah tersebut penting supaya hukuman yang setimpal dikenakan kepada penjenayah buli siber sekaligus dapat membela nasib mangsa buli.

 

“Walaupun buli siber dilihat tidak meninggalkan kesan secara fizikal, namun gejala ini dilihat lebih berbahaya kerana mengancam kesihatan mental seseorang.

 

“Dalam sesetengah kes, buli siber boleh menyebabkan kematian akibat bunuh diri ekoran tekanan mental dan emosi yang dihadapi mangsa.

 

“Justeru, satu perbincangan telah diadakan melibatkan pihak-pihak berkepentingan bagi membincangkan mekanisme untuk mencegah buli siber terutamanya di Pulau Pinang,” ujar Chong Eng dalam sidang media berkenaan buli siber di Komtar pagi ini.

 

Hadir sama, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang, Superintendan R. Chelvam; Kaitangan Sosial Pusat Perkhidmatan Wnita (WCC), S. Mangleswary dan wakil dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

 

Difahamkan, perbincangan yang dijalankan adalah SKMM, PDRM, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Jabatan kesihatan Negeri (JKN) serta WCC.

 

Mengulas lanjut, Chong Eng berkata bahawa usaha Kerajaan Negeri dalam menangani gejala buli siber tidak berhasil tanpa sokongan atau bantuan daripada semua pihak.

 

“Kanak-kanak pada zaman moden ini mudah terdedah kepada perkembangan teknologi yang boleh membawa keburukan seperti buli siber sekiranya tidak terkawal.

 

“Justeru, usaha daripada semua pihak adalah sangat penting bagi memastikan bukan sahaja mangsa buli siber dibantu, malahan untuk mendidik anak-anak kita dalam penggunaan media sosial dan teknologi,” tambahnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.

 

Dalam pada itu, Chelvam dalam ucapannya menjelaskan bahawa laporan berkaitan jenayah buli siber yang diterima PDRM adalah masih rendah.

 

“Bagi mengatasi gejala buli ini, tiada cara lain selain meningkatkan kesedaran… mangsa sendiri perlu tampil ke hadapan supaya pihak polis boleh mengambil tindakan.

 

 

“Namun dukacitanya dalam tiga tahun ini cuma 22 kes buli siber dilaporkan.

 

“Hal ini bermakna sebahagian besar mangsa buli siber enggan tampil ke hadapan untuk membuat laporan.

 

“Justeru, saya menasihatkan mangsa buli siber untuk tampil membuat laporan walaupun ia hanya berlaku di peringkat awal,” tegasnya lagi.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

Gambar : LAW SUUN TING