Mangsa insiden kren terbalik Changkat Delima 1 terima pampasan kontraktor

img 20241128 wa0004

GEORGE TOWN – Berikutan insiden kren terbalik di tapak projek Pakej 2, dekat Changkat Delima 1,  yang berlaku pada 3 Oktober 2024, pihak kontraktor telah memberi pampasan kepada pemilik rumah pertama berjumlah RM19,000 sebagai kos pembaikan.

Bagi pemilik rumah kedua yang terjejas, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari memaklumkan masih dalam proses mentaksir kerugian.

“Untuk pemilik kenderaan pula, kereta tersebut telah diisytiharkan sebagai “total loss” oleh Proton.

“Pemilik telah menyerahkan segala dokumen yang diperlukan kepada syarikat insurans.

“Pihak kontraktor telah meminjamkan sebuah kereta kepada pemilik tersebut sehingga proses insurans selesai,” ujar Zairil ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Ping pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pagi tadi.

Difahamkan kejadian ini berlaku apabila sebuah treler (loader) milik Syarikat TNT Crane & Heavy Equipment dalam proses untuk membawa dan menghantar ‘crawler crane’ ke tapak projek (CH2900).

Mengulas lanjut, ADUN Tanjong Bunga itu menjelaskan bahawa kejadian tersebut telah menyebabkan kerosakan dua buah rumah dan sebuah kereta.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku disebabkan masalah teknikal pada paip angin sambungan di antara kepala lori dan muatan terbabit,” katanya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD