Mangsa kebakaran dapat perhatian KM & Kerajaan Negeri

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

TELUK KUMBAR – Nasib menimpa mangsa kebakaran, Rosshina Abd. Latif, 24, yang kehilangan suami dan bayinya dalam kejadian kebakaran dekat Kampung Nelayan di sini pada 22 Januari lalu memperoleh perhatian Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Guan Eng yang tiba di perkarangan Masjid Maqbul meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk bertanyakan khabar dan menyampaikan sumbangan khas daripada beliau kepada balu terbabit.

Guan Eng ketika ditemui berkata, bantuan kewangan berjumlah RM4,000 disumbangkan khas kepada Rosshina yang kehilangan suami (Mohd. Nazri Zainal Abidin, 29) serta bayinya, tiga bulan (Damia’ Ulayyah Salsabila).

“Masing-masing RM2,000 diperuntukan buat setiap mangsa yang meninggal dunia.

“Kita berharap, isteri mangsa dapat tabah dan cekalkan hati untuk meneruskan kehidupan.

“Selebihnya, kita serahkan kepada pihak polis (Polis Diraja Malaysia, PDRM) dan bomba (Pasukan Bomba dan Penyelamat) untuk menjalankan siasatan berhubung kes ini,” katanya dalam nada sebak di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar) dan Mohamad Sabu (bekas Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang , PBAPP).

Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz, Pegawai Penerangan Kerajaan Negeri, Zahar Zainul dan Pengerusi Kariah Masjid Maqbul, Datuk Prof. Idris Salleh turut hadir.

Dalam kejadian jam 2.17 pagi tersebut, mangsa, Mohd. Nazri dan anaknya Damia terkorban dipercayai gagal menyelamatkan diri, manakala, empat mangsa lain yang cedera dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Kebakaran yang berlaku turut memusnahkan tiga kediaman di sini.

Tambah Guan Eng, bagi setiap keluarga yang kehilangan tempat tinggal, bantuan kewangan daripada Tabung Bencana Yang di-Pertua Negeri masing-masing berjumlah RM1,000 disumbangkan kepada mangsa.

Dalam pada itu, Mohd. Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak ketika ditemui selepas majlis pengkebumian di sini memberitahu bahawa beliau turut memperuntukkan RM1,000 masing-masing kepada mangsa terlibat.

Terdahulu, dimaklumkan Pusat Urus Zakat (PUZ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyampaikan sumbangan masing-masing berjumlah RM400 dan RM500 kepada tiga keluarga terlibat.

} else {