Mangsa kebakaran Kampung Masjid terima bantuan bahan binaan

Admin

SUNGAI PINANG – Nasib keluarga Jalaludin Zainol di Kampung Masjid, belakang Masjid Jamek Jelutong (Jalan Pokok Assam) di sini, yang kehilangan rumah kediaman dalam kejadian kebakaran pada pertengahan Ogos lalu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim. 

 

Ketika ditemui, Siew Khim berkata, dalam situasi negara sedang berhadapan dengan kesan pandemik COVID-19, rakyat turut berdepan dengan kesulitan dan kesusahan. 

 

LIM Siew Khim.

 

“Saya memahami situasi yang dialami rakyat sekarang ini, sangat mencabar dan atas dasar keprihatinan saya amat berbesar hati apabila ada pihak yang tampil membantu. 

 

“Kita perlukan lebih ramai penderma seperti Encik Yeoh (Yeoh Teong Eng, Pengarah Urusan Yuan Seng Building Trading Sdn. Bhd.), tidak kiralah dalam bentuk apa-apa sekalipun asalkan boleh meringankan bebanan rakyat. 

 

Saya ingin mengambil kesempatan ini, berterima kasih kepada beliau dan menyeru mana-mana syarikat yang berkemampuan untuk tampil membantu rakyat sebagai sebahagian daripada program CSR (tanggungjawab sosial korporat) mereka. 

 

“(Dan) hari ini Encik Yeoh tampil menyumbang bantuan berupakan bahan binaan untuk membina semula rumah yang musnah dalam kebakaran tempoh hari. 

 

“Saya harap semangat ‘Kita Jaga Kita, Kita Bantu Kita’ dapat diteruskan dan disemai,” ujarnya kepada Buletin Mutiara sejurus meninjau keadaan rumah terbabit di sini. 

 

Hadir sama, Pengerusi Kampung Masjid, Mohd. Ali Mohd. Ismail serta ahli keluarga mangsa kebakaran. 

 

JALALUDIN Zainol.

 

Dalam pada itu, Jalaludin yang ditemui menarik nafas lega dan bersyukur apabila ada pihak yang tampil menghulurkan bantuan. 

 

“Sebenarnya Encik Yeoh ini merupakan kawan baik kepada bapa saya sejak 40 tahun lalu dan saya amat terharu (kerana) di saat kami amat memerlukan bantuan, Encik Yeoh tanpa berfikir panjang terus bersetuju untuk bantu. 

 

“Saya juga amat berterima kasih atas bantuan YB (Siew Khim) dan berharap lebih ramai lagi seperti Encik Yeoh,” katanya yang menceritakan sedikit sebanyak kejadian kebakaran tersebut. 

 

Terdahulu, bantuan berupakan bahan-bahan binaan diserahkan kepada keluarga Jalaludin dengan anggaran kos antara RM10,000 sehingga RM15,000. 

 

KEADAAN rumah keluarga Jalaludin Zainol kini.

 

Difahamkan, kerja-kerja pembinaan akan dimulakan dalam minggu ini. 

 

Dalam kejadian pada 17 Ogos lalu, dua buah rumah serta sebuah kereta sedan dilaporkan hangus terbakar kira-kira pukul 10:30 pagi. Walau bagaimanapun tiada sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : LAW SUUN TING