Mangsa ribut: wakil rakyat, JKM dan Pejabat Daerah telah hulurkan bantuan segera diperlukan mangsa – Ketua Menteri

Admin

TANJONG BUNGA – Bencana yang menimpa 26 keluarga di kawasan Tanjong Tokong akibat ribut tengah hari tadi mendapat perhatian Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Kon Yeow sebaik dimaklumkan mengenai kejadian tersebut meluangkan masa kira-kira satu jam bertemu dengan mangsa dan melawat sebahagian kediaman terjejas di sini sebentar tadi.

Menurut beliau, sebuah pusat pemindahan sementara telah disediakan di Flat Uda bagi membolehkan penduduk terjejas mendapat perlindungan sementara.

“Saya percaya mangsa-mangsa terlibat akan dipindahkan buat sementara waktu malam ini.

“Kerja-kerja pembaikan pun sudah mula dilakukan di sebahagiannya, dan oleh kerana faktor cuaca, mungkin yang lain (rumah terjejas) perlu menunggu sehingga esok sebelum pekerja boleh masuk melakukan pembaikan,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Hal Ehwal Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit dan wakil-wakil daripada Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ditanya mengenai bantuan Kerajaan Negeri, Kon Yeow menyatakan bahawa perkara tersebut belum dapat dipastikan lagi kerana setakat ini dipercayai hanya bumbung yang terlibat.

“Walau bagaimanapun, pihak wakil rakyat setempat, JKM dan Pejabat Daerah telah menghulurkan bantuan segera sepertimana yang diperlukan mangsa,” jelasnya.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang tadi, sejumlah 26 kediaman rosak apabila bumbung-bumbung diterbangkan angin ribut kuat.

Dalam pada itu, salah seorang penduduk yang ditemui, Aisyah Hashim, 64, memberitahu bahawa kejadian ribut tersebut adalah yang pertama meskipun kawasan berkenaan sebelum ini pernah dilanda banjir.

“Kejadian berlaku lepas waktu luhur (zohor), makcik masuk nak sembahyang tiba-tiba terdengar bunyi bising benda terbang, makcik meluru keluar semua dah berkecamuk habis, bumbung pun dah terbang dibawa angin.

“Makcik hanya mampu istighfar dan tengok angin berpusing menuju ke arah lain dan kena rumah jiran,” katanya kepada Buletin Mutiara.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video: CHAN KOK KUAN