Manifesto tidak larang usaha baharu demi kestabilan ekonomi dan kerajaan – Ketua Menteri

fa3695dd c156 4635 9084 b6fee6011d5c KETUA Menteri dalam sidang media di Komtar sebentar tadi antara lain berkata walaupun beliau tidak menerima aduan secara langsung berhubung isu kenaikan cukai tanah 2026 sepanjang turun padang sempena Ramadan, tetapi para pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri setakat Isnin lepas menerima 2,165 rayuan, yang mana 1,665 daripada jumlah rayuan itu sedang diproses dan 532 rayuan telah selesai.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menegaskan bahawa manifesto pilihan raya bukanlah sebuah dokumen yang menyekat Kerajaan Negeri daripada memperkenalkan inisiatif atau dasar baharu yang dianggap perlu demi kestabilan ekonomi dan kesejahteraan Pulau Pinang.

Menurut beliau, manifesto merupakan pernyataan iltizam politik sesebuah parti yang mana Kerajaan mempunyai kuasa dan tanggungjawab untuk berikhtiar melaksanakannya di samping menangani cabaran semasa yang tidak dijangka.

Beliau memberi contoh penubuhan Pusat Kewangan Antarabangsa Pulau Pinang (PIFC) yang juga tidak dinyatakan dalam manifesto Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15), namun tetap dilaksanakan kerana tuntutan ekonomi semasa.

“Manifesto tidak melarang sesebuah kerajaan melakukan apa jua usaha.

“Seperti PIFC, ia tidak dinyatakan dalam manifesto tetapi dengan perubahan ekosistem ekonomi, pasca COVID-19 dan konflik antarabangsa seperti peperangan Iran-Israel, inisiatif ini menjadi sangat penting untuk dilaksanakan,” jelasnya pada sidang media di sini pada 19 Mac 2026.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyifatkan bahawa tindakan mempersoalkan inisiatif baharu hanya kerana ia tiada dalam manifesto sebagai sesuatu yang tidak releven, memandangkan dinamika tadbir urus sesebuah Kerajaan Negeri memerlukan fleksibiliti untuk bertindak mengikut keperluan semasa.

“Tak perlu tanyalah: setelah kamu buat manifesto dan setelah kamu menang, berapa banyak telah ditunaikan?

“Tak perlu tanyalah: kenapa buat inisiatif baru?” ujarnya.

Di samping itu, beliau menambah bahawa sekiranya sesuatu inisiatif baharu itu terbukti penting untuk negeri, pihak kerajaan tidak seharusnya dihalang daripada melaksanakannya demi kepentingan awam dan daya tahan ekonomi Pulau Pinang.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut menyanggah kenyataan konon-konon beliau tidak kerap turun padang dan mengadakan lawatan ke seluruh negeri serta tidak menerima banyak aduan secara langsung berkaitan kenaikkan kadar cukai tanah yang baharu.

Beliau berkata, mereka yang terbabit mungkin tidak membangkitkan aduan secara langsung kepadanya, tetapi membuat aduan kepada pegawai berkenaan di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri atau daerah.

Kon Yeow dalam pada itu turut mempertahan kewibawaan para pegawai PTG negeri yang terlibat di sebalik pelaksanaan kadar cukai tanah baharu.

Kon Yeow berkata bahawa setakat Isnin lalu, PTG negeri menerima 2,165 rayuan, yang mana 1,665 daripada jumlah rayuan itu sedang diproses sementara rayuan telah selesai (532).

“Walaupun saya tidak menerima aduan secara langsung berkaitan isu kenaikan cukai tanah sepanjang lawatan saya sempena Ramadan, bukan bermakna rakyat tiada perkara untuk dibangkitkan.

“Mungkin mereka tidak menyuarakannya kepada saya (namun,) jangan bimbang, kami (Kerajaan Negeri melalui PTG) akan terus meneliti rayuan daripada orang ramai,” responsnya lanjut.

Kon Yeow turut menjelaskan bahawa pentadbirannya mempunyai opsyen sama ada mengambil langkah penguatkuasaan ataupun pemutihan bagi menangani isu komponen komersial didirikan tanpa kebenaran di atas tanah-tanah ‘First Grade’ yang dikenal pasti oleh pihak PTG negeri ketika ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : LAW SUUN TING