Mantan Datuk Bandar MBSP terima gelaran Dato’ Seri

Admin
SR. Rozali Mohamud dan isteri selepas majlis Istiadat Penganugeruh Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Sempena Hari Ulang Tahun Ke-73 Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak di Dewan Sri Pinang tengah hari tadi.

GEORGE TOWN – Masuk hari kedua Istiadat Penganugeruh Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Sempena Hari Ulang Tahun Ke-73 Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak pagi ini menyaksikan mantan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud antara yang tersenarai sebagai penerima anugerah Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (D.G.P.N) yang membawa gelaran Dato’ Seri.

Turut mengiringi istiadat penganugerahan ialah isteri TYT, Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah Mohd. Nor.

Bertempat di Dewan Sri Pinang, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan isteri, Puan Tan Lean Kee; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy dan isteri, K. Kalaiarasi merupakan antara tetamu kehormat utama yang turut menyertai acara istiadat penganugerahan tersebut.

Rozali, 63, yang ditemui kemudian menjunjung kasih atas kurniaan anugerah darjah kebesaran yang disampaikan oleh Tun Ahmad Fuzi pada pagi tadi.

“Menjunjung kasih kepada TYT Tun Dato’ Seri Utama yang telah berkenan menganugerah PGPN.

“Penganugerahan ini adalah pengiktirafan kepada seluruh rakyat Pulau Pinang khususnya di bahagian Seberang Perai, Ahli Majlis, warga MBSP dan ‘Wira Oren’,” jelasnya kepada Buletin Mutiara.

Rozali, berkelulusan bidang penilaian dan ukur peringkat Sarjana Muda dan telah berkhidmat dalam sektor perkhidmatan awam selama lapan tahun di Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan Malaysia bermula 16 April 1982.

Kemudiannya, Rozali mulai 1 Februari 1990 berkhidmat di Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sebagai Penolong Pengarah Penilaian sebelum dinaikkan pangkat ke Pengarah Jabatan Penilaian yang kemudiannya menjadi Setiausaha Perbandaran pada 1 Mac 2011.

Pada 1 Julai 2017, beliau diberi tanggungjawab yang lebih besar sebagai ‘peneraju’ Majlis Vandara ‘diangkat’ menerajui MPSP seterusnya dimasyhurkan sebagai Datuk Bandar apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut ditarafkan sebagai Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pada 16 September 2019.

Kira-kira 22 tahun berkhidmat dalam sektor perkhidmatan awam peringkat PBT berkenaan, Rozali pernah mendapat menerima anugerah ‘Productivity Champion Award’ daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) pada April 2021.

Pentadbirannya sepanjang tahun 2021 berada pada kedudukan tersendiri apabila berjaya merangkul sembilan anugerah dan pengiktirafan di samping menjadi pemegang enam rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Difahamkan, D.G.P.N adalah darjah kebesaran dizahirkan pada tahun 1996 dan dikurniakan kepada orang perseorangan yang menyumbang perkhidmatan yang cemerlang serta mempunyai taraf kedudukan yang tertinggi.

Mereka yang dikurniakan darjah ini digelar Dato’ Seri dan isteri penerima digelar Datin Seri.

Kurniaan ini dihadkan kepada seratus tujuh puluh (170) orang yang masih hidup, tidak termasuk bukan warganegara Malaysia yang boleh dikurniakan anugerah ini secara kehormat. Darjah kebesaran ini mengandungi kalung, bintang, selepang dan lencana darjah.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI & SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS