Mantapkan tahap kesihatan, jangan pandang enteng pemeriksaaan

Admin

AIR ITAM – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyeru agar seluruh komuniti mengambil langkah awal sekiranya menghidapi sebarang penyakit tanpa dijangka.

Menurut beliau, pemeriksaan kesihatan adalah perlu dilakukan dan tidak boleh dipandang enteng.

“Sebagai makluman, terdapat sebuah program anjuran Kementerian Kesihatan (KKM) dan agensi berkaitan KKM, ProtectHealth dikenali sebagai Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang menyediakan pelbagai faedah khasnya pada aspek kesihatan untuk golongan sasar berkaitan.

“Sebagai contoh, komuniti B40 berpeluang mendapatkan saringan secara percuma, bantuan alat perubatan serta insentif rawatan dan tambang pengangkutan menerusi PeKa B40,” ujarnya pada Majlis Perasmian Mini Karnival Kesihatan anjuran Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam di sini sebentar tadi.

KETUA Menteri semasa memeriahkan perasmian karnival berkaitan sambil bergambar di pameran AADK.

Kehadiran Kon Yeow disambut oleh tuan rumah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang. Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ir. A. Rajendran serta barisan ahli-ahli Majlis MBPP.

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut memuji inisiatif diambil Soon Siang berhubung penganjuran berkaitan yang berlansung sepanjang hari ini.

“KADUN Air Itam merupakan antara yang pertama menyediakan pelbagai aktiviti menarik serta pemeriksaan kesihatan secara percuma bersempena program ini.

“Selaras dengan Visi Penang2030, pengisian program berkaitan sangat baik dalam membantu golongan berpendapatan rendah (B40) di samping dapat menggerakkan komuniti setempat dalam mengamalkan gaya hidup sihat,” ulasnya lanjut.

SUASANA sekitar karnival menunjukkan para urusetia sedang membantu golongan warga emas bagi pemeriksaan kesihatan.

Difahamkan, penganjuran Mini Karnival Kesihatan KADUN Air Itam merupakan hasil kerjasama daripada MBPP, Klinik O2 Air Itam serta penglibatan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Turut diadakan, senaman zumba, pemeriksaan kesihatan percuma, permainan roda impian dan cabutan bertuah, gerai makanan serta pelbagai pameran menarik.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : LAW SUUN TING

Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI