MARA perlu main peranan proaktif rapatkan jurang pendapatan rakyat – Exco

 PENGKALAN KOTA – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Dr. Afif Bahardin berkata, Majlis Amanah Rakyat (MARA) perlu memainkan peranan proaktif dalam usaha merapatkan jurang pendapatan dalam kalangan rakyat.

 

Jelasnya, peluang-peluang seperti kemudahan pinjaman, pembiayaan, kemudahan premis, serta skim latihan yang disediakan MARA dilihat mampu memberi manfaat kepada rakyat sekiranya disalurkan tepat kepada golongan sasar.

 

“Hal ini sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dilancarkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini yang bertujuan merapatkan jurang pendapatan rakyat antara kaya dengan miskin.

 

“Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang sudah dilaksanakan beberapa puluh tahun dahulu melahirkan ramai usahawan bejaya, namun kita dapati jurang pendapatan kaya dan miskin semakin senggang.

 

“Oleh itu, peranan MARA secara konsisten diperlukan untuk memberi fokus kepada usahawan-usahawan bumiputera melalui suntikan dana dan ilmu bagi mengembangkan lagi peluang menjana pendapatan,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kemudahan Pembangunan Usahawan MARA Pulau Pinang di Bangunan MARA, di sini sebentar tadi.

 

Hadir sama, Pengarah MARA Negeri Pulau Pinang, Lukman Hakim Hasan.

 

Difahamkan, seramai 22 usahawan menerima bantuan MARA Negeri Pulau Pinang berbentuk pembiayaan pinjaman, geran, pendidikan dan premis kos keseluruhan berjumlah RM1.8 juta pada majlis tersebut.

 

 

Dalam pada itu, Afif turut berharap agar MARA dapat menjalinkan kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri khususnya melibatkan pembangunan usahawan desa dan luar bandar.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : CHAN KOK KUAN