MARDI aset strategik perkukuh keterjaminan makanan negara – Ketua Menteri

Admin
img 20260724 wa0076

PINANG TUNGGAL – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) disifatkan sebagai aset strategik yang memainkan peranan penting dalam memacu inovasi sektor agromakanan, sekali gus memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara .

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, kewujudan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi Padi (rice@MARDI) Seberang Perai bukan sahaja melengkapkan kekuatan Pulau Pinang sebagai hab perindustrian dan teknologi, malah mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan agromakanan negara.

“Saya berbangga kerana kemudahan penyelidikan bertaraf nasional ini terletak di Pulau Pinang.

“Pusat ini bukan sekadar institusi penyelidikan, malah aset strategik yang memacu inovasi dalam meningkatkan produktiviti padi serta memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara,” katanya ketika berucap pada lawatan ke rice@MARDI Seberang Perai, di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan, Dato’ Rashidi Zinol; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Bukhori Ghazali; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohamed Abdul Rahman; Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan) MARDI, Dr. Asfaliza Ramli; Pengarah, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Pulau Pinang, Dr. Nurulnahar Esa dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang, Mohd. Muhaimin Ibrahim.

img 20260724 wa0072img 20260724 wa0071

Pada lawatan tersebut, Kon Yeow turut meninjau bank benih padi di rice@MARDI Seberang Perai yang menyimpan koleksi benih sehingga 15 tahun bagi memastikan varieti padi negara dapat dipelihara dan dibangunkan untuk kegunaan masa hadapan.

Menurut beliau, sejak penubuhannya pada tahun 1964, MARDI telah mentransformasikan sektor padi negara menerusi pelbagai penyelidikan dan inovasi, termasuk pengenalan varieti MR219 pada tahun 2001 yang menjadi pilihan utama pesawah selama lebih dua dekad.

Beliau menyatakan bahawa sehingga kini, sebanyak 59 varieti padi berprestasi tinggi telah diisytiharkan bagi meningkatkan produktiviti serta memperkukuh daya saing industri padi negara.

“Usaha penyelidikan berterusan ini amat penting bagi menghasilkan varieti padi yang berkualiti tinggi, meningkatkan hasil metrik tan sehektar.

“Malah, MARDI membuktikan bahawa penyelidikan bukan sekadar menghasilkan inovasi, malah memberi manfaat secara langsung kepada pesawah melalui peningkatan hasil, pendapatan dan keselamatan makanan negara,” ujarnya.

img 20260724 wa0065img 20260724 wa0067

Mengulas mengenai cabaran semasa sektor agromakanan, Kon Yeow memberitahu bahawa perubahan iklim, peningkatan kos input, kekurangan tenaga kerja dan ketidaktentuan rantaian bekalan global memerlukan sektor pertanian dipacu melalui teknologi, inovasi serta amalan yang lebih lestari.

Tambah beliau, komitmen tersebut selari dengan Inisiatif Strategik B2 Penang2030 yang menyasarkan peningkatan produktiviti pertanian sebanyak 20 peratus menjelang tahun 2030.

“Sehingga kini, Pulau Pinang telah mewujudkan 384 kebun komuniti dan kebun bandar daripada sasaran 500 menjelang tahun 2030.

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memodenkan sektor pertanian secara mampan dan berteraskan teknologi,” ulasnya lanjut.

Dalam pada itu, Kon Yeow berharap agar kepakaran MARDI terus diperluas kepada pembangunan komoditi strategik lain, khususnya jagung bijian.

Menurut beliau, penubuhan Loji Perintis Jagung Bijian di rice@MARDI Seberang Perai merupakan langkah penting dalam membangunkan rantaian nilai jagung tempatan serta berpotensi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import jagung bijian untuk industri makanan ternakan.

Beliau turut menekankan kepentingan memperkasa penyelidikan dalam bidang pertanian tepat (precision agriculture), mekanisasi, tanaman bernilai tinggi dan teknologi pascatuai bagi meningkatkan produktiviti serta menarik lebih ramai golongan muda menyertai sektor pertanian moden.

“Saya juga berharap agar kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan MARDI akan terus diperkukuh supaya hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang meningkatkan produktiviti, menjana pendapatan pengusaha serta memperkukuh keterjaminan makanan negara,” ujarnya.

img 20260724 wa0059

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT