Masih terlalu awal untuk pertimbang syor kerjasama Umno, DAP – Kon Yeow

Admin
KETUA Menteri

BERTAM – Masih terlalu awal buat Parti Tindakan Demokratik (DAP) untuk mempertimbang cadangan kerjasama politik dengan Umno memandangkan senario politik negara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah tidak menentu, seumpama ketidakpastian negara dalam menangani pandemik COVID-19, sekarang.

Demikian respons Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow yang juga Naib Pengerusi DAP kebangsaan ketika mengulas mengenai syor Ketua Umno Bahagian Pulai, Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed supaya partinya keluar daripada gabungan Barisan Nasional (BN) serta mempertimbang untuk bekerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk memastikan tidak hilang sokongan pengundi dalam kalangan bukan Melayu pada pilihan raya umum nanti.

Respons Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang lagi, ketika ini semua pihak lebih berminat untuk memerhati perkembangan politik tidak menentu semata-mata.

“Suasana politik macam suasana pandemik (COVID-19), ada banyak (perkara) tak tentu lagi dan masih bergolak.

“Mungkin pilihan raya (PRU15) merupakan satu-satu jalan untuk memantapkan keadaan iaitu menyelesaikan ketidaktentuan serta ketidakpastian.

“Pada pandangan saya, (pendapat Nur Jazlan) itu merupakan sebahagian daripada pergolakan politik.

“Jadi, saya rasa semua berminat untuk meneliti tahap kemajuan ini,” ujarnya kepada pemberita, selepas merasmikan acara ekspo agro ‘Hello Market’ di sini pada 3 Januari 2020.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota turut menjelaskan bahawa PRU15 yang dianggap sebagai jalan terbaik juga masih tidak dapat menjamin untuk menstabilkan ketidaktentuan politik negara, kelak.

Terdahulu, Free Malaysia Today (FMT) hari ini melaporkan cadangan Nur Jazlan itu sebagai usul sulung daripada peringkat Umno bahagian di peringkat nasional sempena musim Perhimpunan Agung Umno (PAU).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : DARWINA MOHD. DAUD