Masjid dan surau di Seberang Jaya terima zakat perniagaan UDA Land

Admin

SEBERANG JAYA – Empat buah masjid dan 10 buah surau di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seberang Jaya menerima bantuan zakat perniagaan daripada syarikat pembangunan hartanah, UDA Land Sdn. Bhd. (UDA Land) berjumlah RM70,000.

Penyampaian bantuan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya merangkap Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dalam majlis ringkas yang diadakan di Masjid Sembilang, di sini sebentar tadi.

Afif berkata, zakat merupakan tuntutan dalam Islam sebagai salah satu usaha untuk menyucikan diri dalam apa jua perkara yang dilakukan termasuk dalam urusan perniagaan, penanaman, simpanan dan juga pendapatan.

“Terima kasih kepada syarikat UDA Land yang turut bersama-sama membangunkan pelbagai kemudahan di Seberang Jaya seperti Wakaf Seetee Aisah dan juga beberapa pembangunan lain.

“Kita juga maklum bahawa UDA Land memainkan peranan penting dalam membangunkan komuniti melalui tanggungawab sosial korporat (CSR), program-program kemasyarakat dalam menyediakan perumahan yang baik terutama untuk Melayu Bumiputera.

“Justeru, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak UDA Land kerana sentiasa cakna dengan keperluan komuniti dan dalam masa yang sama menunaikan tanggungjawab pada agama,” ujarnya.

Turut serta pada majlis tersebut, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Pembangunan & Projek Khas Uda Land, Datuk Nordin Murat; Noor Azmi Salleh (Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Pembangunan Tanah); Zainudin Deni (Ketua Pegawai Operasi Wilayah Utara); Radziah Mohamed Fadzil (Naib Presiden 1, Bahagian Korporat & Komunikasi); Mohammad Hazrell Baddaron (Penolong Naib Presiden 2, Bahagian Korporat & Komunasi) serta kariah masjid.

Dalam perkembangan berkaitan, Afif memaklumkan bahawa pihaknya juga kini sedang merancang untuk mengadakan program ‘Barakah Jumaat’ dengan menyediakan makanan di masjid pada setiap hari Jumaat.

“Setiap minggu kita akan buat di masjid yang berlainan yang bertujuan untuk berkongsi makanan dengan para jemaah dan golongan yang memerlukan,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL AHMAD