SEBERANG JAYA – Gagasan Malaysia Madani terus dizahirkan melalui peluncuran Projek Masjid Madani Permatang Pauh, yang bakal menjadi mercu tanda baharu bukan sahaja di kawasan Permatang Pauh, tetapi juga dalam landskap pembangunan Islam di Pulau Pinang.
Perdana Menteri, Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim, dalam ucapannya menegaskan bahawa visi pembinaan masjid tersebut bukan sekadar menonjolkan keindahan seni bina, sebaliknya menzahirkan fungsi sebenar masjid sebagai pusat pembinaan umat dan kesejahteraan sosial.
“Kita mahu masjid bukan hanya megah dari segi binaan, tetapi hidup dengan ilmu, amal dan kegiatan yang mendekatkan umat kepada Allah serta memperkukuh perpaduan,” ujar beliau semasa menyempurnakan Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid Madani Permatang Pauh pada 8 November 2025.
Mengulas lanjut, Anwar turut memaklumkan bahawa pembinaan masjid ini tidak menggunakan dana Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), sebaliknya dibiayai sepenuhnya melalui sumbangan para dermawan tempatan dan antarabangsa.
“Projek yang dibangunkan di atas tapak seluas 5.3 ekar berhampiran Lebuhraya Utara–Selatan itu bakal menampilkan seni bina moden-Islamik dengan pelbagai kemudahan termasuk ruang solat utama, dewan serbaguna, perpustakaan, kemudahan komuniti serta kawasan perumahan.
“Malah, kita turut menyediakan dana amanah sebanyak RM4 hingga RM5 juta bagi tujuan penyelenggaraan supaya masjid ini terus makmur dan berfungsi,” jelasnya lanjut.
Selain itu, Anwar turut menekankan kepentingan memperkasa pendidikan agama dengan kemahiran semasa agar institusi masjid kekal relevan dengan keperluan masyarakat moden.
“Masjid perlu menjadi teras kepada pengukuhan iman, institusi zakat serta kebersamaan ummah. Zakat bukan sekadar ibadah, tetapi juga instrumen ekonomi bagi menangani kemiskinan tegar. Kita perlu kembali memahami falsafah asalnya,” katanya.
“Kerajaan telah mengembalikan bantuan dan peruntukan kepada Sekolah Agama Rakyat, khusus untuk melaksanakan program yang menggabungkan pendidikan agama dengan kemahiran digital, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kecerdasan buatan (AI).
“Pendidikan percuma untuk anak-anak paling miskin dari sekolah rendah hingga ke peringkat universiti juga akan mula dilaksanakan bermula tahun hadapan,” ujarnya.
Hadir sama, ialah Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta dif-dif kehormat yang lain.
Sementara itu, Mohamad berkata, projek tersebut sejajar dengan Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030, yang berteraskan lima tunjang utama pembangunan sosioekonomi, pendidikan, keluarga, anak muda serta dakwah dan tarbiyah.
“Masjid ialah tunjang pelaksanaan agenda ini, kini Pulau Pinang mempunyai 216 buah masjid yang berperanan sebagai pusat sosial dan spiritual masyarakat.
“Insya-Allah, dengan kerjasama semua pihak, Masjid Madani Permatang Pauh akan menjadi model terbaik bagi pembangunan Islam bersepadu di negeri ini,” jelasnya.
Mohamad turut memaklumkan pelaksanaan Projek Rumah Persaraan Mandiri Warga Emas di atas tanah Baitulmal seluas 10 ekar di Pongsu Seribu, yang akan dibangunkan oleh Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).


Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN