Masyarakat diseru lupakan isu perkauman, fokus kepada pembangunan ekonomi negara

Admin

BUKIT TENGAH – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengingatkan masyarakat di negara ini agar tidak menjerumuskan diri dalam isu-isu perkauman dan agama yang dikhuatiri mampu menggugat kestabilan negara.

Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk masyarakat menumpukan seluruh perhatian terhadap pemulihan ekonomi negara supaya manfaat daripada hasil pembangunan tersebut dapat dinikmati oleh semua.

“Walaupun Malaysia sudah merdeka selama 62 tahun, tapi dari semasa ke semasa rakyat kita terjerumus dalam isu-isu di antara kaum dan agama yang mungkin akan menggugat kestabilan serta perhubungan kaum di negara ini.

“Justeru, saya rasa sudah tiba masanya untuk kita melepaskan pandangan demikian dan bekerjasama untuk memastikan negara Malaysia terus maju,” ucapnya pada Majlis Perasmian Karnival Lampu anjuran Majlis Pengurusan Kominiti Kampung (MPKK) Perkampungan Juru di sini sebentar tadi.

Antara pengunjung cilik yang hadir menyaksikan keindahan Karnival Lampu.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung; Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani; Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Anuar Yusoff serta Pengerusi-Pengerusi MPKK dalam kawasan Parlimen Batu Kawan.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut menyambut baik hasrat pihak MPKK untuk membina pintu gerbang di hadapan Perkampungan Juru dan menyifatkan cadangan tersebut sebagai sesuatu yang baik untuk dilaksanakan.

“Jadi, saya cadangkan supaya kita buat satu pungutan suara dalam kalangan penduduk dan sekiranya mendapat sokongan padu maka kita perlu fikir dari mana datangnya peruntukan.

“Saya percaya pihak Kerajaan Negeri dapat membantu sedikit-sebanyak, manakala Ahli Parlimen dan ADUN juga boleh menggunakan peruntukan Persekutuan selain sumbangan daripada penduduk setempat,” ujarnya.

Difahamkan, Karnival Lampu Perkampungan Juru dianjurkan bermula 31 Ogos lalu dan akan berakhir pada 16 September ini bersempena sambutan Pesta Tanglung 2019.

Sebanyak 10,000 unit lampu LED (Light Emitting Diode) disusun berbentuk bunga ros dan terowong sepanjang 50 meter serta lebih 50,000 lampu LED disusun mengikut pelbagai bentuk.

Selain pelbagai reka bentuk lampu yang menarik, karnival berkenaan juga turut dimeriahkan dengan beberapa persembahan menghiburkan seperti tarian, nyanyian serta pertunjukan silap mata.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD