Masyarakat setempat perlu berperanan halang demam denggi, chikungunya – Ahli Majlis MBPP

GEROGE TOWN – Setiap anggota masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam membanteras peningkatan kes demam denggi dan chikungunya di negeri ini.

Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Wong Yuee Harng ketika ditemu bual oleh Buletin Mutiara berkata, masyarakat perlu bersama-sama berusaha membanteras tempat pembiakan nyamuk di kawasan kediaman masing-masing dalam usaha mencegah penularan wabak.

“MBPP sebagai pihak berkuasa tempatan telah mengambil inisiatif dengan mengadakan operasi bersepadu pencegahan di sekitar kawasan George Town dalam usaha membasmi tempat pembiakan jentik-jentik dan larva nyamuk.

“(Dan) melalui operasi bersepadu ini, sejumlah 39,341 bekas takungan air diperiksa dan hasilnya 164 bekas takungan atau 0.4 peratus daripada keseluruhan yang diperiksa didapati positif sebagai tempat pembiakan nyamuk.

“Oleh itu, setiap anggota masyarakat perlu berperanan dan bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan di kawasan kediaman dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam membanterasnya,” ujarnya yang ditemani rakan sepenjawat, Nicholas Teng Ji Wey.

Menurut Yuee Harng, kawasan pembiakan nyamuk sebenarnya banyak terdapat di kawasan rumah dan ia tidak disedari oleh penghuni atau masyarakat setempat.

“Banyak perkakasan di rumah sebenarnya menjadi tempat pembiakan nyamuk seperti tong sampah yang diterbalikkan, bekas minuman haiwan peliharaan, tong cat, bekas makanan dan sampah yang tidak dibuang dengan betul.

“Selain itu hasil dari pemantauan kami baru-baru ini mendapati, banyak bekas makanan yang diberikan untuk golongan gelandangan turut menjadi punca kepada pembiakan nyamuk sekitar George Town ini,” katanya.

Difahamkan, fokus utama operasi bersepadu diadakan adalah untuk mencari dan memusnahkan tempat yang berpotensi menjadi sarang pembiakan nyamuk.

Dalam perkembangan berkaitan, Yuee Harng meminta supaya masyarakat membetulkan persepsi bahawa longkang yang tersumbat dan kotor adalah punca kepada pembiakan nyamuk.

“Sebenarnya tidak, jentik-jentik akan membiak di kawasan yang mengandungi air jernih.

“Sekiranya air itu kotor, ia akan datangkan masalah yang lain, tetapi bukan jentik-jentik yang akan membiak di situ,” jelasnya.

Sementara itu, Jie Wey memuji tindakan pantas yang diambil oleh MBPP dalam menggerakkan pasukan operasi ke kawasan panas (hotspot).

“Selepas ini kita akan menggerakkan pasukan operasi ke kawasan Jelutong memandangkan kawasan tersebut mempunyai kes yang tinggi membabitkan kawasan perumahan yang padat,” maklumnya.

Sementara itu, Pengurus Besar George Town World Heritage Incorporated (GTWHI), Dr. Ang Ming Chee ketika dihubungi melalui telefon menzahirkan penghargaan kepada MBPP yang mengambil inisiatif menjalankan operasi bersepadu ini.

“Semestinya bagi pihak GTWHI sendiri, kami berharap agar penduduk setempat di sekitar Lebuh Armenian ini dan juga pengunjung khasnya memainkan peranan masing-masing dalam memastikan kes demam denggi dan chikungunya dapat dibendung.

“Kerap memeriksa sekeliling kawasan kediaman atau tempat kerja mampu membendung wabak ini daripada terus merebak,” katanya.

Terdahulu, MBPP melaksanakan Operasi Bersepadu Kawalan Peningkatan Demam Denggi dan Chikungunya sekitar George Town bermula 16 hingga 29 Julai lalu.

Seramai 160 anggota dari Jabatan Kesihatan Awam; Jabatan Landskap; Jabatan Kejuruteraan; Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBPP digerakkan bagi menjayakan operasi bersepadu tersebut.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ENG KOK WEI