MBPP buka permohonan permit gerai sementara buah bermusim 2019

Admin
AHLI-ahli Majlis dan kakitangan Bahagian Pelesenan menunjukkan kenyataan media berkenaan permit gerai sementara untuk perniagaan buah bermusim sejurus tamat sidang media pagi ini.

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kini membuka permohonan lesen permit gerai sementara untuk perniagaan buah bermusim mulai kini hingga Ogos 2019.

Menurut Ahli Majlis bagi MBPP, Wong Yuee Harng, pihak majlis membuka permohonan awal bagi perniagaan buah bermusim berikutan berlakunya perubahan musim buah untuk tahun ini.

“Bagaimanapun para peniaga dikehendaki mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan oleh MBPP seperti saiz binaan struktur mestilah diluluskan Majlis, menyediakan petugas (seperti RELA) bagi mengawal aliran trafik (jika perlu), bertanggungjawab ke atas penyelenggaraan dan kebersihan kawasan sebelum, semasa dan selepas perniagaan.

“Syarat-syarat lain termasuklah menyediakan tong sampah yang bersesuaian dengan karung plastik dan bertutup serta tidak menggunakan bekas polisterin bagi sebarang tujuan perniagaan (membungkus/mempamer makanan),” ujar beliau dalam satu sidang media di Pejabat Bahagian Pelesenan MBPP, Padang Kota di sini pagi ini.

Mengulas lanjut, Yuee Harng memberitahu bahawa bagi bayaran harian, sebanyak RM1.00 dikenakan bagi setiap kanopi bersaiz 40 kaki persegi manakala bagi bayaran sampah, RM6.00 mengikut bilangan gerai dan bilangan hari perniagaan dijalankan.

“Untuk bayaran kanopi (sekali bayar), RM100 dikenakan bagi kanopi 400 kaki persegi ke bawah, kanopi 400 hingga 800 kaki persegi (RM200), manakala 800 hingga 1,200 kaki persegi adalah (RM300).

“Untuk tahun 2019 pihak MBPP tidak lagi membenarkan permohonan perniagaan dijalankan di lokasi berhampiran Jalan Burma iaitu dekat Jalan Gottlieb sehingga berhampiran Jalan Perak (Chinese Recreation Club) berikutan kesesakan lalu lintas,” ujarnya lanjut.

Sebarang pertanyaan lanjut, hubungi Bahagian Pelesenan di talian 04-2638818.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI