MBPP cemerlang peringkat negeri, kebangsaan

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) merangkul dua Sijil Penghargaan Pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Kejiranan Hijau 2017 iaitu Penyediaan Laluan Basikal dan Penyediaan Laluan Pejalan Kaki bagi Kategori Bandar Raya baru-baru ini.

Penghargaan tersebut diterima pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan bersempena sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Tahun 2017 anjuran Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebelum ini.

Majlis penyampaian hadiah telah diadakan di Johor Bahru, Johor pada 11 November lalu. Datuk Bandar MBPP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif ketika mengumumkan perkara itu berkata, kemenangan tersebut membolehkan MBPP menerima sijil penghargaan dan wang tunai.

“Selain sijil penghargaan, bagi setiap kategori berkaitan, MBPP masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM4,500,” ucapnya pada Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) MBPP di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Maimunah memberitahu, MBPP turut menunjukkan pencapaian memberangsangkan apabila menggondol beberapa anugerah lain di peringkat negeri dan kebangsaan.

Katanya, Pasar Chowrasta MBPP telah dipilih untuk menerima The Edge Malaysia- PAM Green Excellent Award 2017 dan Medan Selera Bukit Gedung (Naib Johan (Kategori B) Anugerah Medan Selera Bersih, Selamat dan Sihat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama KPKT).

“Pada Majlis Sambutan Hari Tandas Sedunia 2017 Peringkat Pulau Pinang, Majlis menerima anugerah bagi Kategori Tandas Awam PBT yang mana Tandas Awam Astaka Desa Pasar Ayer Itam dinobatkan sebagai johan, Tandas Awam Astaka Desa Mayang, Bayan Baru (naib johan) dan Tandas Awam Pantai Miami (saguhati).

“Hadiah diterima adalah berupa piala serta sijil penghargaan,” ujarnya.

Selain itu, tambah Maimunah, MBPP turut memenangi lima anugerah lain iaitu, Johan Pertandingan Kawad Merdeka Tahun 2017 Peringkat Negeri Pulau Pinang; Anugerah Pavilion Terbaik sempena The 7th International Green Tech & Eco Products Exhibition & Conference Malaysia 2017 (IGEM); johan Pertandingan Persembahan Kategori Berkumpulan; Johan Tiru Gaya Artis dan Green Pinang Awards Gala 2017.

“Bagi Green Pinang Awards Gala 2017, sebanyak 13 jabatan MBPP telah menerima pengiktirafan sebagai Penang Green Office yang mana penganugerahannya disampaikan sendiri oleh Y.A.B. Ketua Menteri pada 22 November lalu,” jelasnya.