MBPP dan Kota Medan, kukuhkan hubungan dua hala sedia terjalin

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menerima kunjungan hormat Perwakilan Pemerintah Kota Medan, Bapak Eddy Virgo Ng, di Komtar sebentar tadi.

Turut menyambut kedatangan delegasi berkenaan adalah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Setiausaha Bandaraya, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali.

Kota Medan dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) merupakan ‘Kota Kembar’ (Sisters-Cities Twin-Cities) sejak 35 tahun lalu.

Bagi mengukuhkan hubungan dua hala yang sedia terjalin di antara keduanya, Kon Yeow mencadangkan agar Tung Seang mengadakan kunjungan ke Medan, Indonesia dalam tempoh terdekat.

Menurut beliau, waktu terbaik adalah ketika penganjuran Medan Fair yang bakal berlangsung pada bulan Mac ini.

“Setiap tahun pada penganjuran Medan Fair, sememangnya Kerajaan Negeri melalui Timbalan Ketua Menteri I akan berkunjung ke Medan untuk mempromosikan barangan usahawan tempatan.

“Mungkin ini adalah waktu terbaik untuk mengukuhkan hubungan dua hala yang sedia terjalin di antara Pulau Pinang dan juga Kota Medan.

“Bersempena itu, Datuk Bandar boleh mengetuai rombongan MBPp ke sana, dan sempena kunjungan itu boleh dianjurkan beberapa program bersama-sama,” ujarnya pada pertemuan yang berlangsung kira-kira satu jam tersebut.

Dalam pada itu, Eddy melahirkan harapan agar lebih banyak kolaborasi melibatkan bidang pelancongan, aktiviti, budaya serta ekonomi dijalinkan di antara Kota Medan dan MBPP mahupun Kerajaan Negeri.

“Kita (Kota Medan dan Pulau Pinang) perlu lebih saling mengenali, senang untuk menjalinkan kolaborasi… kami (Kota Medan) dengan hati terbuka akan menerima kunjungan dari Pulau Pinang.

“Diharap pihak MBPP juga boleh mencadangkan satu lokasi atau kawasan yang boleh digunakan untuk mempromosikan barang, perkhidmatan serta produk pelancongan Indonesia mahupun Pulau Pinang sendiri di sini, cara ini lebih dekat untuk meyakinkan masyarakat,” ulasnya lanjut.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD