MBPP dan MBSP gandakan pemantauan dan pemeriksaan sepanjang PKP 2.0

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan mengejut lebih kerap di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 yang bermula semalam sehingga 26 Januari ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan masing-masingnya telah diarah untuk menggandakan pemeriksaan agar prosedur operasi standard (SOP) di kemudahan dan tempat awam dipatuhi sepenuhnya.

Jelas beliau, semua tindakan yang perlu akan dilakukan oleh MBPP serta MBSP, malah kedua-dua PBT berkenaan dalam keadaan siapsiaga bukan sahaja dalam tempoh PKP 2.0 malah sehingga habis perisytiharan darurat pada 1 Ogos 2021.

“MBPP dan MBSP mempunyai pelan tindakan masing-masing bagi memastikan PKP 2.0 dilaksanakan dengan jayanya… kita perlu berganding bahu dan bekerjasama agar bukan sahaja PKP 2.0 ini berjaya tetapi perisytiharan darurat bagi membendung pandemik COVID-19 dapat ditamatkan lebih awal.

“Satu pelan lebih efektif untuk membendung COVID-19 amat perlu dilakukan memandangkan kini kita di tahun kedua berhadapan dengan wabak ini, justeru MBPP dan MBSP akan melipatgandakan pemantauan dan pemeriksaan mengejut di lapangan.

“Jadilah rakyat yang bijaksana dan sihat, kita akan pastikan Pulau Pinang kembali ke status Hijau seperti sebelum ini,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat pada sidang media di sini sebentar tadi.

Hadir sama Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Dato’ Sr. Rozali Mohamud (Datuk Bandar MBSP) dan Dato’ Ir. Addnan Mohd. Rozali (Setiausaha Bandaraya MBPP).

Sehingga 12 Januari 2021 yang lalu sebelum berkuat kuasanya PKP 2.0 (13 Januari 2021), sejumlah 1.36 juta pemeriksaan telah dilakukan oleh MBPP dan MBSP iaitu dalam kawasan pentadbiran MBPP sejumlah 586,909 pemeriksaan telah dilakukan dengan kadar pematuhan sebanyak 99.74 peratus dan MBSP berjumlah 771,544 pemeriksaan (99.38 peratus).

Pada sidang media yang sama, sebagai Exco bertanggungjawab, Jagdeep memaklumkan bahawa Kempen Pemilikan Rumah (HOC) akan dilanjutkan sehingga akhir tahun ini dengan pemberian pelbagai insentif dan pengecualian.

“Situasi semasa sektor pembinaan khususnya kediaman amat membimbangkan di mana kadar inflasi meningkatkan kos pembinaan, oleh itu sebagai usaha merancakkan sektor ini semula, dasar rangsangan diperkenalkan pada 10 Jun 2020, dan ia akan dilanjutkan sehingga akhir tahun 2021.

“Manakala, pembekalan Rumah Mampu Milik (RMM) sehingga minggu kedua 2021, sejumlah 113,960 unit (51.8 peratus) kini dalam pelbagai peringkat pembinaan,” tambah beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI