MBPP fokus agenda kebersihan, prasarana awam dalam Bajet 2021

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memberi penekanan terhadap lima fokus utama dalam perancangan bajet tahun hadapan membabitkan sebahagian peruntukan berjumlah RM128.98 juta.

 

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, daripada RM128.98 juta sebanyak RM59.94 juta atau 46.47 peratus diperuntukan untuk agenda kebersihan diikuti oleh prasarana awam (RM54.43 juta, 42.20 peratus); kehijauan (RM7.92 juta, 6.14 peratus); selamat (RM5.17 juta, 4.01 peratus) dan sihat (RM1.52 juta, 1.18 peratus).

 

“Fokus pertama adalah agenda kebersihan yang mana Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan MBPP amat komited mendukung Dasar Kebersihan Negara dengan membudayakan amalan kebersihan dalam kalangan masyarakat termasuk menggalakkan inisiatif sisa sebagai sumber pendapatan ke arah ekonomi kitaran dan meningkatkan kelestarian alam sekitar.

 

AR. Yew Tung Seang.

 

“Sejumlah RM54.98 juta diperuntukan untuk pengurusan sisa domestik termasuk menyediakan infrastruktur pengurusan sisa pepejal dan RM50,000 adalah untuk mempromosikan program pengasingan sisa di punca.

 

“Bagi penswastaan kerja-kerja pembersihan, sebanyak RM4.19 juta diperuntukan dan RM700,000 untuk tujuan sanitasi awam dan pembelian barangan pembersihan serta kelengkapan tandas,” jelasnya ketika membacakan teks ucapan Bajet 2021 di Dewan Bandaraya dekat Jalan Padang Kota Lama, semalam.

 

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali; barisan Ahli Majlis MBPP serta Ketua-ketua Jabatan berkaitan.

 

Mengulas lanjut mengenai fokus utama Bajet 2021 MBPP, Tung Seang memaklumkan bahawa melalui agenda prasarana awam, sejumlah RM2.70 juta bakal digunakan bagi pendigitalan perkhidmatan ke arah pelaksanaan Data Raya Majlis.

 

“(Hal ini termasuk) usaha membangunkan Geographical Information System (GIS) untuk perkongsian maklumat kepada orang awam; menyelenggara serta menaik taraf sistem analitik video CCTV yang akan siap dipasang pada akhir tahun ini dan membantu mewujudkan komuniti pintar di bawah domain ‘Smart Community’.

 

“MBPP juga akan berusaha mengoptimumkan penggunaan kemudahan awam bagi manfaat jangka panjang pembayar cukai termasuk menaik taraf kemudahan pasar dan tandas; menambah baik kualiti hidup penduduk di premis penyewaan dan perumahan awam MBPP; menaik taraf infrastruktur jalan dan lalu lintas serta pemuliharaan dan penyelenggaraan bangunan warisan,” katanya.

 

Sementara itu, melalui agenda kehijauan, Tung Seang memberitahu bahawa pihaknya akan terus membantu merealisasikan matlamat Kerajaan Negeri untuk menanam 100,000 pokok lagi bagi tempoh lima tahun yang mana 20,000 pokok akan ditanam setiap tahun bagi tujuan ini.

 

Usaha ini adalah ke arah menjadikan Pulau Pinang sebagai Bandar Raya Dalam Taman dengan mengekalkan persekitaran bandar raya yang bersih dan indah.

 

“Seterusnya adalah (agenda) selamat dengan sejumlah RM5.17 juta  diperuntukan bagi kerja-kerja menyelenggara 935 unit kamera litar tertutup (CCTV) sedia ada termasuk 22 unit CCTV yang dipasang bagi tujuan pemasangan tanah di kawasan cerun bukit.

 

“(Dan) terakhir adalah sihat yang mana peruntukan (RM1.52 juta) akan diagihkan melaui penganjuran aktiviti sukan dan rekreasi; program-program di bawah Local Agenda 21 (LA21), Gender Responsive Participatory Budgeting (GRPB) dan kesihatan awam,” katanya lagi.

 

Terdahulu, Tung Seang membentangkan belanjawan MBPP bagi tahun 2021  membabitkan nilai RM382.29 juta berbanding RM465.96 juta tahun ini.

 

“MBPP mempunyai tiga punca hasil utama dan bagi tahun 2021 sebanyak RM354.01 juta akan disumbangkan melalui hasil cukai dengan anggaran RM241.59 juta; hasil bukan cukai (RM93.34 juta) dan terimaan bukan hasil (RM19.08 juta).

 

“Manakala bagi anggaran perbelanjaan tahun 2021, MBPP memperuntukkan sejumlah RM382.29 juta yang merangkumi 89.07 peratus perbelanjaan mengurus dan 10.93 peratus perbelanjaan pembangunan.

 

“Ini bermakna Bajet 2021 MBPP merupakan satu bajet defisit sebanyak RM28.28 juta,” jelasnya.

 

Menjawab pertanyaan pemberita, Tung Seang akui terdapat penurunan hampir RM100 juta dalam hasil pendapatan yang dicadangkan untuk tahun 2021 berbanding tahun ini, RM451.7 juta.

 

Unjuran tahun hadapan sememangnya dijangka berkurangan berdasarkan perkembangan semasa pandemik COVID-19 yang meninggalkan kesan terhadap semua industri dan turut menjejaskan pendapatan MBPP.

 

“MBPP menjangkakan pengurangan caj pembangunan hampir RM37 juta bagi tahun hadapan,” responsnya.

 

Walau bagaimanapun, Tung Seang yakin bahawa Bajet 2021 dapat memenuhi objektif MBPP dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan yang lebih efektif kepada rakyat.

 

“Bajet ini akan memberi fokus kepada penyambungan projek-projek sedia ada dan mempertingkatkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan teras MBPP selaras dengan matlamat kami sebagai sebuah ‘Compassionate Council’ walaupun berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19,” ujarnya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN