PANTAI JEREJAK – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berharap pihak sekolah di kawasan pulau dapat menubuhkan Peronda Lintasan Sekolah (PLS) bagi membantu mengawal kesesakan di sekitar sekolah.
Ahli Majlis bagi MBPP, Choong You Ray berkata PLS akan memperolehi elaun daripada MBPP dan latihan daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi mengawal kesesakan di kawasan sekolah.
“Pihak PDRM akan memberikan latihan kepada PLS untuk mempelajari cara-cara menahan kenderaan serta membantu para pelajar melintas jalan dan seterusnya diberikan tauliah.
“Sekiranya calon PLS berumur lebih 60 tahun, MBPP boleh mempertimbangkan dan perlu mengemukakan pengesahan boleh bekerja.
“Walaupun bukan satu kewajipan, namun MBPP berharap semua sekolah dapat menyediakan PLS agar keselamat murid lebih terjaga.
“Setakat ini, 30 orang telah ditauliahkan sebagai PLS di seluruh negeri Pulau Pinang,” ujar You Ray dalam satu sidang media di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Nibong di sini petang tadi.
Tambah You Ray, elaun yang akan dibayar adalah sebanyak RM200 bagi PLS yang bertugas satu sesi dan RM400 (dua sesi).
Hadir sama, Ahli-ahli Majlis bagi MBPP, pihak PDRM, wakil Jabatan Pendidikan Negeri dan wakil SK Sungai Nibong.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT