MBPP gariskan syarat baharu permohonan permit sementara jualan sempena Kew Ong Ya

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengeluarkan syarat-syarat baharu bagi permohonan permit sementara jualan kepada para peniaga kecil dan penjaja sempena sambutan Kew Ong Ya tahun ini.

 

Ahli Majlis MBPP,  Theng Jie Wey berkata, syarat-syarat tersebut adalah selaras dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh kerajaan bagi mengekang perebakan COVID-19.

 

“Antara syarat baru adalah jarak antara gerai jualan mestilah dua meter dan hanya take away (bungkus / bawa pulang) sahaja dibenarkan.

 

Selain itu, pelanggan mesti mendaftar melalui (aplikasi) MySejahtera dan diambil suhu sebelum dibenarkan memasuki gerai jualan.

 

“Kawalan kesesakan gerai akan dikawal oleh para peniaga atau dengan melantik RELA atau lain-lain agensi dan semestinya permohonan hanya untuk warganegara sahaja, warga asing tidak dibenarkan memohon permit ini,” jelasnya kepada pemberita dalam sidang media yang diadakan di Bilik Mesyuarat Bahagian Pelesenan dekat Jalan Padang Kota Lama pagi ini.

(Dari kiri); TAN Hooi Peng; Theng Jie Wey; Lee Wei Seang dan Wong Yuee Harng pada sidang media di Bahagian Pelesenan dekat Jalan Padang Kota Lama pagi ini.

 

Hadir sama, rakan-rakan sepenjawatan, Lee Wei Seang; Tan Hooi Peng dan Wong Yuee Harng.

 

Mengulas lanjut, Jie Wey berkata, pihak Majlis juga menggalakkan para peniaga untuk tidak menggunakan penyedut minuman plastik dan mengurangkan penggunaan bekas makanan plastik.

 

“Langkah ini adalah bagi menyahut seruan Kerajaan Negeri Pulau Pinang ke arah bandar raya hijau.

 

“(Dan) perniagaan tidak boleh dijalankan di atas petak letak kereta,” katanya.

 

Bagi para peniaga kecil dan penjaja yang berminat untuk memohon permit sementara jualan tersebut perlu hadir ke kaunter Bahagian Pelesenan dengan mengemukakan pelan lokasi; tempoh permohonan; saiz gerai yang dikehendaki; salinan kad pengenalan pemohonan dan salinan kad suntikan typhoid.

 

“Kadar bayaran bagi fi lessen pula adalah RM1 bagi setiap 40 kaki persegi (kp) mengikut jumlah hari yang dimohon.

 

“Manakala bayaran lain adalah fi sampah iaitu RM6 bagi setiap gerai dan bayaran permit kanopi mengikut saiz iaitu RM100 bagi 400 kp; RM200 bagi 400 hingga 800 kp dan RM300 bagi 800 hingga 1,200 kp.

 

“(Dan) sebagai makluman, borang permohonan akan mula diterima mulai 21 September 2020,” ujarnya.

 

Dalam sidang media sama, Jie Wey turut memaklumkan bahawa temuduga terbuka bagi sewaan gerai di kompleks, pasar dan tapak penjaja MBPP akan berlangsung pada 30 September 2020.

 

Pemohon perlu mendaftar melalui online sahaja iaitu di https://elesen.mbpp.gov.my mulai 21 September 2020 sehinggga 28 September 2020 sahaja.

 

“Sebarang bantuan, pemohonan boleh hadir ke kaunter Bahagian Pelesenan di sini secara walk-in atau hubungi talian berkaitan.

 

“(Dan) pemohon yang berdaftar perlu hadir pada waktu yang telah ditetapkan.

 

“Bagi yang tidak berdaftar dalam tempoh masa yang ditetapkan anda tidak layak bagi sesi temuduga tersebut,” tegasnya.

 

Maklumat lanjut, sila hubungi talian 04-263 8818 sambungan 307/308/309/310.

SENARAI gerai kompleks untuk penyewaan.
SENARAI gerai pasar untuk penyewaan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN