MBPP giat kempen kesedaran mengasi, elak kes haiwan terbiar

Admin

SUNGAI PINANG – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan terus bergerak aktif mengadakan kempen kesedaran mengasi (memandulkan) haiwan peliharaan dalam membendung kes haiwan terbiar di tempat awam.

 

 

Menurut Ahli Majlis bagi MBPP, Connie Tan Hooi Peng, melalui kempen yang diadakan sebelum ini permintaan untuk mengasi terutamanya anjing meningkat.

 

 

“Pada tahun 2021 kami (MBPP) menerima 1,309 permohinan dan tahun 2022, jumlah tersebut meningkat kepada 2,309 permohonan.

 

 

 

“Untuk tahun ini MBPP sasarkan untuk bekerjasama dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam menambah kesedaran pemilik-pemilik anjing dalam melakukan perkara yang sama.

 

 

 

“Cuma setakat ini kawasan yang berdepan cabaran adalah di Balik Pulau kerana kawasan tersebut berbukit dan banyak kebun, selain itu kami akan adakan kempen di tapak-tapak pembinaan yang juga menjadi tempat anjing ditinggalkan setelah projek tamat,” ujar beliau pada sidang media sejurus penyerahan beras kepada International Aid for the Protection & Welfare of Animals (IAPWA) di Jalan Sungai di sini pagi tadi.

 

 

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang yang juga penyumbang beras kepada IAPWA.

 

 

 

Jelas Soon Siang, projek tersebut telah dimulakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi atas kesedaran bahawa haiwan turut memerlukan bantuan sedemikian.

 

 

 

“Hasil kerjasama MBPP dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti IAPWA ini, kita dapati anjing-anjing liar sekitar Air Itam boleh dikatakan berkurangan, nak tangani 100 peratus memang susah cuma boleh kurangkan.

 

 

 

“Justeru kita mahu orang ramai sedar tentang program mengasi haiwan peliharaan supaya ia tidak terbiar setelah tuan mereka pindah, hilang dan sebagainya.

 

 

 

“Selepas ini mungkin kita juga boleh beri fokus kepada kucing yang turut banyak terbiar di tempat-tempat awam,” katanya lagi.

 

 

Bagi individu yang memerlukan bantuan untuk mengasi haiwan peliharaan, boleh hubungi MBPP di talian 04-2810850.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD