MBPP, IBM Malaysia bawa normal baharu dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan

Admin

GEORGE TOWN – Pandemik COVID-19 yang sedang melanda seantero dunia kini telah menjadi suatu titik perubahan dalam tatacara penyampaian perkhidmatan kerajaan.

 

Bahkan turut mengubah landskap industri dan perniagaan global dengan mengadaptasi teknologi digital dalam urusan harian.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, perebakan pandemik COVID-19 telah mempercepatkan transformasi digital dan teknologi moden tidak kira sama ada dalam perkhidmatan kerajaan, industri mahupun perniagaan di seluruh dunia.

 

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan pada Mac lalu, kita dapat melihat bagaimana tatacara penyampaian perkhidmatan dalam kerajaan berubah termasuk semasa sidang media diadakan.

 

Suka saya maklumkan, bahawa Pulau Pinang merupakan negeri pertama dalam negara yang mana perkhidmatan bagi pihak berkuasa tempatan 100 peratus dilakukan secara dalam talian.

 

“Malah, lain-lain jabatan dan agensi di negeri ini turut ikut sama mengaplikasikan penggunaan teknologi digital dalam penyampaian perkhidmatan mereka menjadikan ia lebih efektif dan inovatif.

 

“Inilah normal baharu…(pandemik) COVID-19 telah mengubah cara dan keperluan kita terhadap penggunaan teknologi semasa,” ujarnya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan IBM Malaysia di Komtar, hari ini.

 

JAGDEEP Singh Deo (tengah) ketika menyampaikan ucaptama dalam majlis berkaitan pagi ini. Turut sama, Ar. Yew Tung Seang (kiri) dan Catherine Lian (kanan).

 

Pengarah Urusan IBM Malaysia, Catherine Lian dan Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang turut berucap pada majlis berkaitan.

 

Terdahulu, Jagdeep menzahirkan penghargaan kepada IBM Malaysia dalam memperkukuhkan lagi jalinan kerjasama bagi menjayakan inisiatif bandar raya pintar dan penyampaian perkhidmatan yang efisien.

 

Memorandum persefahaman yang ditandatangani hari ini merupakan memorandum tahun kedua setelah memorandum kali pertama dimeterai pada bulan Jun 2019 berjaya membawa transformasi kepada pentadbiran kerajaan tempatan di negeri ini.

 

Antaranya penggunaan teknologi pengecaman wajah melalui kamera litar tertutup (CCTV), Projek Bandar Raya Pintar Pulau Pinang, hentian bas pintar, teknologi kawalan wabak denggi dan perpustakaan digital yang pertama dalam negara.

 

Difahamkan, menerusi kerjasama kali ini, IBM Malaysia akan menyediakan kepakaran dan perkhidmatan penyelesaian dalam bidang pengkomputeran awan (Cloud Computing); kecerdasan buatan (Artificial Intelligence); pelan blok dan pelaksanaan bandar raya pintar.

 

Sementara itu, Catherine Lian berkata, pihaknya menumpukan terhadap perkembangan semasa pelbagai inisiatif bandar pintar seperti yang termaktub dalam visi Kerajaan Negeri Pulau Pinang iaitu Penang2030.

 

“Melalui kolaborasi ini, IBM Malaysia akan menjadi rakan kongsi bagi membolehkan MBPP menerima manfaat teknologi baharu untuk membantu dalam penyampaian dan kecekapan perkhidmatan awam melalui penggunaan pengkomputeran awan, kecerdasan buatan, internet benda (Internet of Things) dan blok rantaian (Blockchain).

 

“Bagi IBM Malaysia, tujuan kami adalah membantu bukan sahaja pihak kerajaan tetapi juga syarikat-syarikat lain untuk bertahan dan pulih semula selepas krisis kesihatan yang sedang melanda kini, melalui penggunaan teknologi digital,” katanya yang turut bersetuju bahawa pandemik COVID-19 set semula trend penyampaian perkhidmatan semasa.

 

Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali dan Pengarah Hal Ehwal Kerajaan dan Kawal Selia IBM Malaysia, Hasrul Nadzrin Shah Abdul Halim turut serta dalam majlis berkaitan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN