MBPP, Jabatan Perhutanan tanam 5,000 pokok bakau minyak di Pantai Malindo

Admin

PULAU BETONG – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bersama-sama Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) meneruskan komitmen hijau dengan menanam 5,000 batang pokok jenis bakau minyak di Hutan Simpan Paya Bakau Balik Pulau (Pantai Malindo) pagi tadi.

 

 

Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang, penanaman pokok merupakan langkah paling mudah dalam menangani peningkatan suhu bumi dan perubahan iklim yang dialami dunia ketika ini.

 

 

 

“Tahun lepas MBPP telah menanam 2,020 batang pokok sama di kawasan Sungai Pinang, Balik Pulau dan tahun ini pada mulanya kita rancang tanam 2,021 namun atas sasaran yang ada, hari ini kita tanam 5,000 batang pokok.

 

 

“Sasaran yang dimaksudkan adalah 100,000 batang pokok ditanam menjelang tahun 2023.

 

“Sejak 2018 hingga November 2021, MBPP sudah menanam 54,859 batang pokok di seluruh pulau termasuk tepi jalan, taman-taman dan yang penting adalah menanam pokok di kawasan yang betul mengikut jenis,” katanya kepada pemberita sejurus selesai Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021 – 2025 dekat sini pada 15 November 2021.

 

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya bagi MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali dan Pengarah Perhutanan Negeri Pulau Pinang, Muhammad Ezhar Yusuf.

 

 

Terdahulu, Tung Seang berkongsi mengenai kepentingan paya bakau di Balik Pulau yang juga berfungsi sebagai zon penampan bencana.

 

 

Sementara itu, Ezhar ketika bercakap kepada pemberita memberitahu bahawa pokok bakau mampu menyerap karbon lebih daripada pokok lain.

 

 

“Selain itu, kawasan paya bakau juga menjadi habitat kepada hidupan-hidupan marin.

 

 

 

“Di Balik Pulau sahaja hutan simpan paya bakau berkeluasan 5,000 hektar dan yang ditanam hari ini bersamaan 1,000 hektar.

 

 

“Manakala kadar mampu hidup untuk pokok-pokok baharu ditanam ini adalah 70 hingga 80 peratus,” katanya lagi.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD