MBPP, Jabatan Pertanian laksana projek hidroponik komuniti di Kampung Baru

Admin
img 3098

AIR PUTIH – Usaha memperkasa pertanian bandar terus diperkukuh menerusi kerjasama antara Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang, serta komuniti setempat dalam menjayakan projek Rumah Hijau Hidroponik dekat Kampung Baru Air Putih di sini.

Projek berkenaan bukan sahaja menyediakan ruang pertanian bandar yang lebih sistematik, malah menjadi contoh terbaik bagaimana kerjasama antara agensi kerajaan dan komuniti mampu mewujudkan persekitaran hijau yang memberi manfaat kepada penduduk.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran yang merasmikan Rumah Hijau Hidroponik itu berkata, beliau mahu melihat kemudahan rumah hijau itu dibangunkan secara lebih menyeluruh dengan sistem hidroponik dan automasi.

“Rumah hijau ini dianggarkan bernilai antara RM45,000  telah disediakan oleh Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang.

“Selepas itu, MBPP bersama Ahli-ahli Majlis menambah baik kemudahan ini supaya ia dilengkapi dengan tanaman serta sistem automasi.

“Bagi melengkapkan projek ini, MBPP turut menyalurkan peruntukan tambahan termasuk sumbangan RM10,000 daripada Ahli-ahli Majlis MBPP, tambahan RM10,000 oleh MBPP dan RM25,000 oleh Jabatan Pertanian bagi memastikan kemudahan ini dapat dilengkapi dengan sistem penanaman yang lebih sempurna,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Peancaran Rumah Hijau MPKK Kampung Baru Air Putih di sini tengah hari tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng; ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; Ahli Majlis MBPP Rohaizat Abdul Hamid dan Ahli-ahli Jawatankuasa MPKK Kampung Baru.

Tambahnya, pembangunan projek tersebut membuktikan komitmen MBPP dalam memperluaskan inisiatif pertanian bandar sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kelestarian bandar dan memperkukuhkan penglibatan komuniti.

img 3105 img 3096 img 3093

“Pertanian bandar tidak akan berjaya sekiranya tiada pihak yang sanggup mengurus, menyiram dan menjaga tanaman setiap hari.

“Sebab itu, kejayaan projek ini mesti melalui kerjasama erat antara agensi-agensi kerajaan sambil melibatkan penduduk setempat,” jelas beliau lagi.

Terdahulu Rajendran memaklumkan bahawa kawasan berkenaan dahulunya dipenuhi semak samun sebelum dinaik taraf secara berperingkat sehingga menjadi sebuah taman komuniti yang kondusif dan lengkap dengan kemudahan pertanian bandar.

Sehubungan itu, beliau berharap projek hidroponik itu mampu menjadi model kepada pelaksanaan lebih banyak projek pertanian bandar di kawasan lain di bawah pentadbiran MBPP.

Dalam pada itu, Guan Eng memaklumkan projek tersebut mampu menempatkan 560 anak-anak pokok sayur-sayuran walaupun ditempat yang kecil.

“Itulah bezanya tanam di atas tanah dan melalui sistem hidroponik, saya harap projek ini mampu menuai hasil kira-kira 50 kilogram apabila sayur-sayur ini matang,” katanya merangkp Ahli Parlimen Bagan.

Difahamkan antara sayur-sayuran yang ditanam peringkat awal adalah sawi, salad dan lain-lain lagi.