MBPP keluarkan 19 kompaun kepada premis makanan kotor

GEORGE TOWN – Sebanyak 19 kompaun dikeluarkan pihak berkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kepada pemilik premis makanan yang gagal mengekalkan kebersihan dalam operasi bersepadu pagi tadi.

Ahli Majlis bagi MBPP merangkap Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Wong Yuee Harng berkata, pembuangan sisa makanan dan sisa minyak oleh pengusaha premis makanan ke dalam parit mengakibatkan longkang tercemar dan berbau busuk selain menyekat sistem saliran air.

Tidak memasang perangkap minyak antara kesalahan yang dikenal pasti dalam operasi bersepadu MBPP pagi tadi.

“Perbuatan tidak bertanggungjawab ini telah menyumbang kepada berlakunya kejadian banjir kilat dan telah mencemarkan sungai serta pantai.

“Setiap tahun MBPP terpaksa membelanjakan jutaan ringgit untuk membersihkan parit biasa dan parit besar.

“Walaupun pendidikan mengenai pengendali kualiti makanan dan kebersihan premis diberikan dilaksanakan, namun masih terdapat peniaga yang tidak mengambil berat tentang tanggungjawab menjaga premis sendiri,” katanya pada pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBPP, Mubarak Junus; Dr. Judy Shoba Naidu (Pengarah Jabatan Kesihatan dan Perlesenan MBPP), Azman Sirun (Pengarah Bahagian Pelesenan MBPP) serta barisan Ahli Majlis bagi MBPP.

Terdahulu, MBPP mewajibkan semua premis makanan memasang perangkap minyak dan sampah daripada syarikat pembekal yang diiktiraf Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) Berhad.

Cara penyediaan makanan yang kurang bersih oleh pengusaha makanan.

Difahamkan, pemilik premis makanan yang gagal menyediakan atau menyelenggara perangkap minyak dengan sempurna boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan termasuk menghentikan operasi atau membatalkan lesen perniagaan.

Perkara itu selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang-undang Kecil Establishment Makanan 1991 termasuk Undang-undang Kecil Kebersihan dan Keselamatan Awam 1980.

Mengulas lanjut, Yuee Harng menyatakan bahawa Seksyen 69, Akta Kerajaan Tempatan 1976 memperuntukkan bahawa seseorang yang melakukan gangguan atau mengotorkan mana-mana saluran air dan parit awam boleh dikenakan kompaun sebanyak RM500 bagi setiap kesalahan.

“Sekiranya disabitkan kesalahan di mahkamah, pihak berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

“Justeru, MBPP amat tegas dalam melaksanakan penguatkuasaan terhadap pengusaha atau pemilik premis perniagaan yang enggan memberi kerjasama berkaitan isu ini,” ulasnya.

Sebagai rekod, MBPP telah mengeluarkan 313 kompaun pada 2018 manakala bagi tahun ini (36 kompaun) sehingga Februari lepas.
Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: ALISSALA THIAN